KUALA LUMPUR: Polis menahan 7 lagi individu untuk membantu siasatan kes tembak yang menyebabkan seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya serta 3 pelajar cedera di Banting Jumaat lalu.
Ia menjadikan jumlah yang ditahan sehingga kini seramai 19 orang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, mereka akan direman selama 7 hari bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan mengetahui motif sebenar kejadian.
“Hasil siasatan akan kita beritahu selepas segalanya selesai,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Pada 25 September lalu, 3 pelajar cedera selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki 2 lelaki yang cedera akibat terkena tembakan di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok.
Dalam kejadian 12.45 tengah hari, 2 lelaki itu dipercayai ditembak oleh 2 individu menaiki sebuah motosikal.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya mengesan 2 individu yang juga saksi kes tembak di Seri Kembangan pada 21 September lalu.
Katanya, dalam kes itu polis menahan 10 orang suspek yang mana 9 daripadanya lelaki manakala seorang lagi perempuan warga asing.
“Semua suspek direman untuk membantu siasatan yang dipercayai bersabit sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along),” katanya.
Katanya, kedua-dua individu yang dicari itu adalah Loo Lai Ming (Dato Michael) dan Choong Aik Boon (Manco@Roy).
“Polis mengalu-alukan kerjasama semua lapisan masyarakat memberi maklumat bagi memburu 2 suspek yang masih bebas,” katanya.
Pada sidang media sama Huzir turut memaklumkan, kadar jenayah mencatatkan penurunan mendadak dalam tempoh 11 tahun bermula 2009 hingga 2019 membabitkan pelbagai kategori.
Katanya, kadar penurunan itu hasil pendekatan diambil termasuk adanya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan