Sabtu, 13 Jun 2020

Sejak Februari, kepercayaan terhadap Pakatan Harapan telah jatuh 11 peratus

Sejak Februari, kepercayaan terhadap Pakatan Harapan telah jatuh 11 peratus
Undian terhadap PH sebagai pakatan pemerintah telah jatuh kepada 30 peratus, iaitu penurunan 11 peratus daripada 41 peratus yang mereka perolehi dalam undian sebelum ini. - Foto fail Astro AWANI / SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Sejumlah 18 peratus rakyat Malaysia akan mengundi calon bebas berbanding 17 peratus pada undian asas.

Perkembangan itu sekali gus menunjukkan kecenderungan rakyat Malaysia yang mahukan gerakan ketiga mentadbir negara ini dan ia masih relevan.

EMIR Research dalam kajian yang dilakukannya pada 15 Januari hingga 24 Februari lalu melibatkan 2,002 responden mendapati undian terhadap Pakatan Harapan (PH) turut merudum.

“Undian terhadap PH sebagai pakatan pemerintah telah jatuh kepada 30 peratus, iaitu penurunan 11 peratus daripada 41 peratus yang mereka perolehi dalam undian sebelum ini.

“Sementara itu, Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan PAS meningkat 14 peratus iaitu kepada 52 peratus undi pada undian terkini berbanding 38 peratus pada undian asas,” memetik laporan yang dikeluarkan EMIR Research pada Jumaat.

Laporan tersebut turut mempersoal sama ada kewujudan Perikatan Nasional (PN) yang kini membentuk pakatan pemerintah dikaitkan sebagai indikasi bahawa kebangkitan gerakan ketiga telah wujud?

Pada satu sudut, laporan itu mengiyakan persoalan tersebut lantaran sebelum kemunculan PN, hanya dua gabungan yang dibentuk di negara ini iaitu PH dan BN-Muafakat Nasional.

Bagaimanapun, laporan itu melihat bahawa ia merupakan perbandingan tidak setara ekoran pembentukan PN disebabkan oleh pertikaian politik, sementara undian asas dan undian terkini itu merujuk kepada pertukar kerajaan melalui pilihan raya umum.

Tiada ulasan: