Sabtu, 13 Jun 2020

'Ramai lagi akan menyusul kami' - Dr Daroyah Alwi

Ruwaida Md Zain

DR Daroyah (tengah) memegang lencana PKR selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat serta keluar dari parti berkuat kuasa hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal

"SAYA yakin dan percaya ramai lagi pimpinan akan menyusuli kami selepas ini," kata bekas Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi yang mengisytiharkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu berkata, beliau tidak bersendirian keluar parti itu malah seramai 36 pemimpin PKR di peringkat pusat, negeri dan cabang turut menyatakan pendirian sama.

Dr Daroyah berkata, dengan peletakan jawatan dalam parti itu, beliau kini Adun Bebas mesra Perikatan Nasional (PN).

Ditanya sama ada Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sudah maklum mengenai perkara itu, Dr Daroyah berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan.

"Sudah dibincangkan dengan Menteri Besar, tetapi Menteri Besar memang tidak bersetuju saya membuat langkah ini tetapi bagi saya, saya harus tetapkan pendirian.

"Sebab itulah hari ini saya buat keputusan walaupun sebenarnya berat. Saya kira sampai masanya untuk saya buat keputusan ini," katanya dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan menghantar surat peletakan jawatan itu dalam masa terdekat.

"Saya akan menulis surat untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor secepat mungkin," katanya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana beliau sudah hilang keyakinan kepada Presiden dan pimpinan parti yang alpa terhadap idealisme perjuangan serta hala tuju parti.

"Saya percaya, dengan peletakan jawatan ini, saya tidak lagi diheret dengan masalah perebutan kuasa dalam parti.

"Saya bertekad terus menjalankan tugas dan memberi sepenuh komitmen memberikan perkhidmatan lebih efektif kepada masyarakat di Dun Sementa," katanya.

Berita berkaitan

Adun Sementa umum keluar PKR

Tiada ulasan: