KUALA TERENGGANU: PAS mengambil maklum dan perhatian
akan peringatan serta teguran daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad
Shah Al-Musta’in Billah, mengenai politik tanah air.
Ahli
Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Duli Yang
di-Pertuan Agong baru-baru ini telah memberi peringatan agar tidak
mengheret negara ke kancah kemelut politik sekali lagi.
Malah,
katanya yang mutakhir ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum
Sultan Iskandar turut memberikan peringatan keras agar tidak
mengkucar-kacirkan pentadbiran Negeri Johor.
Menurut Amzad, Perdana Menteri sendiri pernah memberi peringatan sama kepada Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri agar terus bekerja untuk rakyat.
“Saya masih ingat, Duli Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah) masih baru lagi ingatkan (kita semua) jangan heret negara sekali lagi ke dalam kemelut politik (negara).
“Baru dua, tiga hari ini Sultan Johor (Sultan Ibrahim) juga ingatkan jangan kucar-kacirkan pentadbiran (Johor) dengan masalah politik.
“Dari hari pertama pentadbiran Perikatan Nasional (PN), YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan semua Menteri dan Timbalan Menteri, mengarahkan hentikan bercakap politik. Rakyat tengah susah. Sila turun ke bawah bantu rakyat dan singsing lengan baju!,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakah, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi amat terkesan dengan nasihat dan peringatan dari pemimpin negara itu untuk terus bekerja demi rakyat.
“Jika ikutkan hati, memang dari awal PAS lebih suka serah kembali mandat (negara) ini kepada rakyat.
“Ini kerana gangguan politik tak bagus untuk kelancaran pentadbiran dalam usaha memulihkan ekonomi negara, membantu rakyat, memerangi (wabak) COVID-19.
“Melaksanakan dasar-dasar yang perlukan ketegasan misalnya isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pemandu mabuk, kawalan penjualan arak, rasuah, sindiket kad pengenalan dan sebagainya,” kata Amzad.
Namun, kata beliau, jika keadaan negara ini telah kembali terkawal dan bebas dari pandemik itu wajarlah diserahkan mandat kepada rakyat semula.
“Jika ada jaminan ianya sudah selamat untuk negara berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) seluruh negara, COVID-19 sudah terkawal dan tidak akan kembali meningkat.
“Jika ada kepastian itu, kita sangat gembira serah kembali kepada rakyat untuk tentukan dan pilih kerajaan yang stabil dan boleh fokus berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan