PERGERAKAN Pemuda UMNO menggesa agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN)
menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai Tabung
Haji (TH).
Menurut ketua pergerakan itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, walaupun
PN tidak pernah berjanji untuk menubuhkan RCI mengenai TH, namun rakyat
berhak mendapat penjelasan mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang
digembar-gemburkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.
“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH
yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan,
sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura
pengurangan subsidi buat jemaah haji atas justifikasi konsep istitoah
oleh bekas menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
“Isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH
Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar
dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan
keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.
“Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah
terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah
Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan
hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada
perolehan TH,” kata Asyraf Wajdi.
RCI Tabung Haji itu juga boleh menyiasat mengenai pendedahan surat TH
oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menunjukkan
menteri telah meluluskan hak perlucutan pertama terhadap pembelian
semula 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke UJSB.
Menurut bekas timbalan menteri (hal ehwal agama) itu, sebelum PH
memerintah, TH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat
penubuhannya yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan
hal ehwal kebajikan jemaah Haji tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.
Asyraf Wajdi berkata, kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja
diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan
setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap
tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus setelah ditolak
zakat 2.5 pertaus.
“Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal,
defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah
mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan