KOTA KINABALU: Adun Labuk, Abdul Rahman Kongkawang menafikan beliau akan meninggalkan Warisan seperti didakwa dalam satu catatan Facebook, ketika spekulasi berterusan membabitkan wakil rakyat yang beralih menyokong pembangkang di Sabah.
Rahman memberitahu FMT, beliau masih bersama parti yang disertainya akhir September lalu, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Ia tidak benar. Saya masih bersama Warisan,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas dakwaan dibuat “Jalil Sonyoto”.
Spekulasi mendakwa Adun dalam Warisan mungkin melompat ke kem pembangkang Sabah – PPBM, Umno, PBS dan STAR – mula kedengaran sejak pertengahan Mei, selepas beberapa Adun tidak hadir untuk menyuarakan sokongan kepada Ketua Menteri, Shafie Apdal.
Adun Tanjung Kapur daripada parti itu, Ben Chong juga dikaitkan dengan cakap-cakap melompat parti berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu yang menyebabkan Sabah menjadi negeri pembangkang kepada kerajaan pusat.
Kerajaan pimpinan Warisan mengambil alih Sabah selepas Upko meninggalkan Barisan Nasional selepas pilihan raya umum 2018.
Rahman ialah seorang daripada Adun dari Umno Sabah dan PBS yang kemudian menyertai Warisan.
Pembangkang di Sabah ketika ini mempunyai 17 kerusi berbanding 47 kerusi yang dimiliki parti pemerintah.
Ia memerlukan lebih 33 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan