Sabtu, 20 Jun 2020

ADUN Ketari ajak warga Bentong, Pahang desak kerajaan hapuskan tol

ADUN Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman mengajak rakyat Bentong dan warga Pahang termasuk penyokong Perikatan Nasional bersamanya untuk mendesak kerajaan menghapuskan tol.

Anggota DAP itu berkata, sebagai wakil rakyat bagi DUN Ketari dan di bawah Parlimen Bentong beliau telah menunjukan komitmen untuk menghapuskan tol.

“Antaranya, memohon secara terus kepada Kerajaan Pusat termasuk kepada Perdana Menteri untuk laksanakan janji ini dan beberapa projek infrastruktur lain di Bentong.

“Semasa taklimat Belanjawan 2020 bersama Menteri Kewangan saya turut desak perkara sama. Menteri Kewangan kata cara yang digunakan untuk Lebuhraya PLUS dan 4 konsesi lebuhraya bertol di Lembah Klang akan digunakan untuk lebuhraya lain termasuklah untuk Lebuhraya Karak,” kata Young Syefura .

Menurutnya, dia juga telah meminta supaya keutamaan diberikan kepada Lebuhraya Karak yang sudah mengutip tol lebih daripada 42 tahun dan manfaat besar bukan sahaja warga Bentong malah 3 negeri di Pantai Timur.

Young Syefura percaya jika diberi lebih masa beliau pasti akan ada kemajuan dalam usaha untuk menghapuskan tol Bentong.

ADUN Ketari itu menjawab serangan pejuang siber yang menggunakan manifesto PRU-14 PH Bentong untuk hapuskan tol Bentong yang dikemukakannya bagi balas sebarang isu yang dibangkitkan beliau.

“Macam mana nak laksanakan manifesto ini kalau sekarang PH sudah menjadi pembangkang?

“Manifesto PRU-14 PH Bentong adalah selari dengan Manifesto PH iaitu ambil alih syarikat konsesi tol secara berperingkat untuk hapuskan segala kutipan tol bagi semua lebuhraya termasuklah Lebuhraya Karak. berperingkat,” kata Young Syefura.

Jelas beliau selama 22 bulan PH telah tunjuk komitmen terhadap isu tersebut dengan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk dapatkan harga terbaik.

Ini dilakukan bagi mengambil alih setiap konsesi lebuhraya bertol dengan matlamat akhir untuk hapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Menurutnya, pada Februari 2020 kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuklah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) berjaya diturunkan sebanyak 18 peratus.

PH juga telah mengumumkan akan ambil alih 4 konsesi lebuhraya bertol di Lembah Klang.

“Pertanyaan ikhlas saya kepada warga Bentong dan warga Pahang termasuklah penyokong Perikatan Nasional, adakah anda sendiri mahu dan setuju Tol Bentong dihapuskan?

“Kalau mahu dan setuju, jom bersama dengan saya untuk terus desak Kerajaan yang kini Kerajaan Perikatan Nasional untuk hapuskan tol ini,” kata Young Syefura.-SM

Tiada ulasan: