Rabu, 20 Mei 2020

Parlimen sampah: Xavier biadab hina titah Agong

Athirah Huda Zalhe


Kenyataan pemimpin PKR dirancang, rakyat digesa buat laporan polis

BANGI – Kenyataan pemimpin PKR, Dr Xavier Jayakumar yang menyifatkan sidang Parlimen semalam sebagai ‘sampah dan tidak berguna’ adalah biadab serta melanggar adab seorang Ahli Parlimen.

Menempelak kenyataan Ahli Parlimen Kuala Langat itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan kenyataan Xavier jelas sebagai penghinaan terhadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Apakah beliau menyifatkan titah ucapan tuanku sebagai sampah dan tidak berguna kerana itu sahaja agenda pada sidang Parlimen pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merujuk video yang dimuat naik Xavier di Facebooknya semalam, beliau mendakwa kerajaan sekarang takut berdepan dengan pembangkang kerana usul undi tidak percaya yang ingin dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Video ucapan dalam bahasa Inggeris berdurasi lebih satu minit itu turut mempertikaikan pelantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kononnya tidak dipilih rakyat dan kerajaan perampas.

“Kami adalah suara untuk semak dan imbang kerajaan. Tetapi kerajaan hari ini, Parlimen hari ini adalah sampah, sidang Parlimen ini adalah tidak berguna.

“Kita hanya akan berada di sana untuk satu jam cuma untuk dengar titah Yang Di-Pertuan Agong dan kemudian kami diarahkan untuk pulang ke rumah. Semua ini kerana alasan COVID-19,” katanya dalam rakaman berkenaan yang masih mengenakan pakaian rasmi untuk Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, semalam.

Sehubungan itu, Haji Aminuddin menyarankan semua rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan dan institusi diraja supaya membuat laporan polis terhadap Xavier.

Beliau turut menggesa rakyat terus memerhati dan melaporkan mana-mana individu yang turut mengeluarkan kenyataan seumpamanya kepada pihak berkuasa.

“Kata-kata beliau ini bagi saya, boleh dikira sebagai menghasut. Walau bagaimanapun, kita biar mahkamah putuskan jika laporan polis ini membuahkan hasil.

“Semestinya ini bukanlah kenyataan tidak sengaja tetapi saya yakin telah dirancang teliti untuk timbulkan rasa kebencian semata-mata kerana dahagakan perhatian dan pengaruh politik mereka yang semakin melemah.

“Tindakan yang segera perlu diambil untuk menghentikan atau menghalang mana-mana individu atau kumpulan lain mengeluarkan kata-kata nista yang sama sebegini,” katanya.


Tiada ulasan: