Kalau tak puas hati buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat
BANGI
– Pemimpin politik negara ini dinasihatkan untuk tidak menjadi
penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah hanya kerana gilakan kuasa serta jawatan.
Presiden gerakan Islam utama, Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, semua pihak
harus bersyukur kerana adanya raja, keadaan negara sentiasa tenang dan
damai.
“Kalau harapkan pemimpin-pemimpin politik sahaja, mungkin akan sampai tahap sehingga pergolakan yang besar berlaku.
“Jadi, terimalah keputusan Agong ini
dengan redha. Paling lama pun tunggulah selama tiga tahun sahaja lagi
sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kalau Parlimen tidak dibubarkan
dalam masa terdekat sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemelut kepimpinan politik yang melanda
negara ini selama seminggu dilihat menghampiri titik noktahnya apabila
Malaysia hari ini bakal menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat
sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan.
Istiadat pengurniaan surat cara
pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang
di-Pertuan Agong dijadual diadakan di Istana Negara pada 10.30 pagi
ini.
Pelantikan Muhyiddin, 72, yang juga
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai perdana
menteri kelapan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a)
Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin
menegaskan, supaya pemimpin politik belajar untuk menerima dan akur
titah baginda serta bertindak dengan bijak dan cermat.
Katanya, rakyat sudah tidak mahu melihat siri-siri drama kemelut politik yang semakin hari semakin membosankan dan memualkan.
“Cukup-cukuplah. Kalau tidak berpuas hati
juga, tunggulah sidang Parlimen nanti dan buatlah undi tidak percaya.
Ataupun perdana menteri selepas itu boleh bubarkan Parlimen dan buat
pilihan raya,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan