Sukarkan pihak berkuasa kesan individu ada kontak rapat
BANGI– Pasangan aktivitis hak asasi yang didakwa merahsiakan identiti mereka
selepas dijangkiti wabak COVID-19 telah mendapat kecaman dari seorang
pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Free Malaysia Today (FMT) melaporkan
bahawa, pemimpin NGO yang enggan namanya dikenali mendedahkan, pasangan
suami isteri itu disahkan positif Coronavirus selepas proses saringan.
Katanya, mereka kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua minggu lalu.
“Mereka ini pasangan suami isteri yang
boleh dikatakan dikenali ramai tetapi mereka ingin merahsiakan apabila
dijangkiti COVID-19.
“Ramai juga mereka jumpa di kalangan
aktivis NGO terutamanya, kerana mereka terlibat dalam mengadakan
mesyuarat-mesyuarat membantah pembentukan kerajaan Perikatan Nasional,”
katanya.
Pada masa sama, pemimpin NGO itu turut
menyifatkan tindakan pasangan yang merahsiakan penyakit dihidapi itu
sebagai tidak bertanggungjawab kerana menyukarkan usaha pihak berkuasa
mengesan individu yang pernah mempunyai kontak rapat dengan mereka.
“Persoalannya kenapa pasangan suami
isteri akitivis ini merahsiakan nama mereka setelah didapati positif?
Sangat tidak bertanggungjawab dan tidak telus.
“Mereka menunjukkan sikap buruk
seolah-olah jika didapati penyakit ini adalah satu stigma, mohon sesiapa
yang ada kontak terus ambil perhatian,” kata aktivis itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan
I, Dr Noor Azmi Ghazali menyifatkan, mana-mana pihak termasuk tokoh
masyarakat atau VIP yang bertindak menyembunyikan identiti selepas
dijangkiti COVID-19, sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia
menyukarkan usaha membendung penularan wabak.
Beliau turut merayu dan menasihati
mana-mana pihak disahkan positif COVID-19 supaya memaklumkan kepada
pihak berkuasa, bagi memudahkan individu yang mempunyai kontak dengan
mereka untuk melakukan pemeriksaan segera.
“Malah ramai yang akan terkena jangkitan kalau mereka tidak ‘isolate’,” katanya.
Difahamkan pasangan itu telah memaklumkan berhubung status kesihatan mereka dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mereka ada memaklumkan dalam kumpulan
yang mempunyai lebih 120 ahli yang terdiri dari NGO-NGO hak asasi pada
17 Mac lagi,” katanya salah seorang ahli yang berada dalam kumpulan
WhatsApp itu kepada pemberita, sambil menafikan pasangan itu cuba
menyembunyikan status kesihatan mereka.
Setakat ini sebanyak 1,518 individu disahkan positif dan 15 kematian direkodkan di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan