POLIS Kedah menahan seramai 149 individu di negeri itu yang didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak ia dilaksanakan 18 Mac lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaakob berkata, setakat ini, Kota Setar mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu hampir 50 orang, diikuti Kulim seramai 33 orang dan Kuala Muda 30 orang.
Beliau berkata, kebanyakan mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 70 tahun yang didapati berkeliaran tanpa arah tujuan.
“Daripada jumlah itu, hanya seorang yang ditahan adalah wanita iaitu kes wanita ditahan di Pendang kerana menghina polis, Jumaat lalu.
“Kebanyakan yang ditahan memberi alasan seperti menangkap burung, menangkap ikan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar.
Dalam pada itu, Zainuddin berkata, seramai 1,800 anggotanya terbabit dalam operasi di negeri ini dan turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam pada itu, Zainuddin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebar berita palsu melalui media sosial kerana ia boleh menyebabkan panik dalam kalangan orang awam.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja menyebarkan atau menghina pasukan keselamatan di media sosial sejak 18 Mac lalu.
“Ini termasuklah empat kes iaitu masing-masing satu di Alor Setar, Kubang Pasu, Baling dan Pendang, malah ada yang sudah dituduh di mahkamah.
“Kalau boleh orang ramai jangan percaya dengan penyebaran berita palsu melainkan media tertentu yang mempunyai sumber sah,” katanya.
Zainuddin berkata, mereka yang sengaja melakukan perbuatan menyebar berita palsu di media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan