Khamis, 26 Mac 2020

Kerajaan setuju beri topeng percuma kepada semua, kata Ismail Sabri

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan 
bersetuju memberi topeng percuma kepada lebih 8 juta isi rumah 
dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.
 
Menteri Kanan (Pertahanan) itu berkata, agihan akan dibuat secara berperingkat setelah bekalan topeng yang dibeli dari luar negara tiba di Malaysia.

“Kerajaan akan beri (topeng) secara percuma kepada 8.63 juta isi rumah. Kini kita menunggu bekalan topeng yang kita import sampai.

“Apabila sampai kita akan edarkan secara berperingkat berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan mengenai siapa yang sewajarnya mendapat topeng itu.

“Edaran topeng terbabit akan dibuat melalui Jawatankuasa Bencana negeri dan daerah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat harian menteri-menteri dan pihak berkepentingan dalam mendepani penularan wabak Covid-19 di Perdana Putra, Putrajaya.

Ismail turut memaklumkan, jumlah terkumpul Tabung Covid-19 hasil sumbangan orang ramai setakat ini adalah sebanyak RM8.129 juta.

“70% daripadanya akan digunakan di peringkat awal bagi membantu rakyat yang terkesan, terutama golongan miskin akibat (pelaksanaan) perintah kawalan pergerakan.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengagihkan bekalan makanan kepada golongan miskin dan mereka yang memenuhi syarat,” katanya.

Tiada ulasan: