UMNO ONLINE
KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama
10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bersetuju memotong 10
peratus gaji mereka selama tiga bulan bagi membantu rakyat negeri ini
yang terkesan dengan penularan virus COVID-19.
Wan Rosdy berkata berdasarkan keputusan mesyuarat EXCO hari ini,
potongan itu berkuat kuasa mulai April ini dan disumbangkan ke tabung
COVID-19 Pahang yang diwujudkan kerajaan negeri.
“Keputusan ini diambil atas rasa tanggungjawab dan simpati ahli EXCO
terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya
yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
“Semoga sumbangan ini dapat mendorong lebih ramai pihak tampil dan
turut menderma bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi
kenyataan media, di sini, hari ini.
Pada perkembangan lain, Wan Rosdy menyifatkan langkah Bank Negara
Malaysia mengumumkan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan
sebagai melegakan orang ramai daripada terus terbeban dengan keadaan
ekonomi yang dialami.
Katanya, mereka yang paling terkesan dengan penularan COVID-19 ialah
golongan bekerja sendiri, peniaga kecil dan mereka yang bergaji harian
yang kini tidak dapat meneruskan kegiatan ekonomi ekoran pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
“Apa yang berlaku sekarang menyebabkan mereka tidak berupaya untuk
menjana pendapatan sekali gus menyukarkan pembayaran balik pinjaman.
Justeru, langkah ini dapat meringankan beban kewangan dan membantu
mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.
PKP dilaksanakan untuk membendung penularan virus COVID-19 dan hari
ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan
tempoh pelaksanaannya sehingga 14 April ini. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan