Isnin, 2 Mac 2020

Muhyiddin mula tugas sebagai PM

 Malaysiakini


Muhyiddin Yassin memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini.Beliau memasuki Perdana Putra di Putrajaya, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, tepat pukul 8.00 pagi bagi memulakan tugas secara rasmi sebagai perdana menteri.

Muhyiddin disambut Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali ketika tiba di Perdana Putra sebelum dibawa ke aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Sebelum memasuki pejabat, Muhyiddin mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa.

Selepas memasuki pejabatnya, beliau menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam (1 Mac).

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari pertamanya, Muhyiddin mempunyai jadual temu janji dengan Mohd Zuki, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Affendi Buang.- Bernama

Tiada ulasan: