Kemelut politik berpanjangan jika PH bawa usul undi tidak percaya
BANGI – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan
menandakan kerajaan Malaysia baharu bakal didominasi faktor Melayu,
Islam dan Bumiputera.
Profesor
Madya Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Izani
Mohd Zain berkata, kerajaan tanpa DAP khususnya akan memperkukuh
kedudukan politik Melayu sebagai teras politik Malaysia.
Situasi itu,
katanya, amat berbeza dengan naratif kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang
berasaskan kesetaraan dan tidak mahu dikaitkan sama sekali dengan
faktor agama dan perkauman dalam menjayakan perkongsian kuasa mereka.
“Meskipun
sukar menahan amarah politik PH, kita berharap mereka berlapang dada dan
menerima hakikat politik dengan hati terbuka. Kemelut politik ini
sewajarnya memberi pengajaran kepada ahli politik bahawa kepentingan
negara mengatasi perbezaan mereka.
“Sudah tentu
pilihan rata-rata rakyat Malaysia mahu melihat PH menerima kepemimpinan
Perdana Menteri baharu dan tidak membawa usul tidak percaya dalam Dewan
Rakyat nanti. Jika tidak, kemelut politik akan terus berpanjangan,”
katanya dalam artikel yang disiarkan BHOnline.
Mengulas
lanjut, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan yang bakal dibentuk
memberi perhatian semula kepada rakyat dan kesejahteraan mereka,
lebih-lebih lagi dalam ketidaktentuan ekonomi yang melanda bukan sahaja
di Malaysia, tetapi juga pada peringkat global.
“Sudah tentu
banyak perkara perlu diselesaikan oleh Perdana Menteri dan kerajaan
baharu. Rakyat yang muak dengan krisis politik, perlu diberikan
kepercayaan semula agar sokongan kepada kerajaan semakin baik demi
kebaikan bersama.
“Kita
percaya, pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu
tidak dapat merungkaikan semua kemelut politik negara yang berlaku
mutakhir ini. Namun, buat masa sekarang, inilah pilihan yang kita ada.
“Sokongan perlu diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan semasa yang baharu atas semangat demokrasi,” katanya.
Semalam,
Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di
hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat
Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan
Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung
di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Al-Sultan
Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a)
dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan