Untuk bandingan Aidiladha perayaan Islam, bagi Hindu tentang ajaran

BANGI
– Para ulama berhak melarang umat Islam daripada terbabit dalam ritual
agama lain yang bertentangan dengan Islam, terutama berkait rapat soal
akidah.
Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Datuk
Ustaz Haji Zamri Hashim membangkitkan perkara itu apabila Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi pandangan bahawa haram bagi
orang Islam menyertai Pesta Ponggal.
Ustaz Zamri yang juga Timbalan Mufti Perak berkata, Ponggal mengandungi ritual-ritual penyembahan dewa-dewa.
Beliau memetik sebuah artikel di dalam
portal Astro Awani oleh Vilashiliney Panneerselvam yang mengatakan
bahawa perayaan itu diraikan bersempena dengan berakhirnya musim menuai,
dimana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari.
Katanya, sebelum matahari terbit, unggun
api besar dinyalakan dan dibiarkan membakar sepanjang malam untuk
membakar barang-barang lama.
Rumah kemudian dibersihkan dan dihiasi dengan corak dan bunga.
“Bagi umat Islam, upacara-upacara yang
mengandungi unsur mempersembahkan sesuatu kepada dewa-dewa adalah
bertentangan dengan ajaran agama Islam.
“Sebagai perbandingan, perayaan Aidiladha
adalah perayaan besar di dalam Islam, namun bagi penganut Hindu, ia
bertentangan dengan ajaran mereka.
“Umat Islam sudah tentu tidak berasa
kecil hati jika sami-sami hindu melarang penganutnya untuk tidak turut
serta di dalam sambutan Aidiladha, kerana umat Islam sangat
memahaminya,” katanya Ustaz Zamri dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) mengeluarkan surat pekeliling berhubung perayaan Pesta
Ponggal, bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama
Islam dalam pembabitan anak mereka semasa sambutan perayaan itu dan ia
bukan halangan untuk diadakan di sekolah.
Pekeliling itu turut menggariskan
beberapa syarat yang digariskan oleh Jakim seandainya umat Islam turut
sama hadir dalam perayaan Pesta Ponggal itu.
Bagaimanapun, Jakim hari ini menegaskan,
pihaknya hanya memberikan pandangan berkenaan penyertaan umat Islam
dalam sambutan Pesta Ponggal serta tidak menghalang ia dilaksanakan.
Menjelaskan perkara itu, Unit Komunikasi
Korporat Jakim berkata, pandangan yang dikeluarkan adalah susulan
daripada permohonan pihak KPM kepada Jakim mengenai garis panduan kepada
warga pendidikan muslim yang terlibat dalam perayaan tersebut.
Sebarang keputusan mengenai perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan