Khamis, 2 Januari 2020

SUHAKAM ‘double standard’

Dr Kamarul Zaman Yusoff

 

Kecam Kongres Maruah Melayu, tapi bela Kongres Pertubuhan Cina


KENYATAAN media Presiden PAS yang menegur SUHAKAM supaya ‘jangan perbodohkan pihak lain’ lantaran kritikannya ke atas tindakan pihak PDRM menghalang penganjuran Kongres Pertubuhan Cina membuatkan minda saya terfikir beberapa persoalan mengenai SUHAKAM.

Bila golongan minoriti menganjurkan Kongres Pertubuhan Cina, yang dikecam oleh SUHAKAM ialah pihak yang menghalangnya kerana ia dikatakan pencabulan ke atas hak asasi rakyat Malaysia, khususnya kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, sebelum ini, bila golongan majoriti menganjurkan Kongres Maruah Melayu, tidak pula SUHAKAM mempertahankan kongres ini atas dasar kebebasan bersuara yang sama, tetapi ia dikecam pula kerana kononnya ‘boleh menggugat hubungan sesama etnik di Malaysia’.

Soalnya ialah mengapa wujud ‘double standard’ dalam pendirian SUHAKAM? Mengapa tidak ia nyatakan bahawa apa yang mahu disuarakan oleh Kongres Pertubuhan Cina ‘boleh menggugat hubungan sesama etnik di Malaysia’ seperti yang dinyatakan kepada Kongres Maruah Melayu?

Dan kalau benar SUHAKAM menjunjung keadilan dan kesaksamaan mengapa komposisi Pesuruhjaya SUHAKAM sendiri tidak adil dan saksama? Mengapa golongan majoriti hanya diberi 3 daripada 8 jawatan Pesuruhjaya SUHAKAM tetapi golongan minoriti dibenar menguasai 5 daripadanya?

Apakah hak asasi manusia yang difahami oleh SUHAKAM hanya merujuk kepada hak asasi golongan minoriti semata?

Dr Kamarul Zaman Yusoff - Pensyarah Kanan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM


Tiada ulasan: