Sabtu, 11 Januari 2020

MCA tuntut Adun DAP mohon maaf berhubung dakwaan seleweng dana

Adun Keranji dari DAP Chong Zhemin. (Gambar Facebook)
 
PETALING JAYA: MCA mengeluarkan surat tuntutan kepada Adun DAP supaya membuat permohonan maaf berhubung dakwaannya bahawa parti itu menyalahgunakan dana bernilai RM150 juta.

Jurucakap MCA, Mike Chong berkata mereka terpaksa mengambil tindakan undang-undang selepas Chong Zhemin enggan memohon maaf kerana memfitnah parti itu walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian.

“Untuk mengakhiri kegilaan ini, kami mengambil langkah undang-undang supaya kebenaran akan terungkai,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong Zhemin mendakwa MCA menyalahguna dana kerajaan untuk membina hospital swasta dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar). Utar dimiliki oleh MCA.

Adun Keranji itu dikatakan membuat dakwaan tersebut di media sosial awal tahun ini. MCA menafikan dakwaan tersebut.

Chong berkata Kementerian Kesihatan pada Selasa menjelaskan bahawa projek itu dibatalkan dan dana itu belum disalurkan.

Beliau berkata penjelasan kementerian membuktikan dakwaan Chong Zhemin tidak berasas.

“Bagaimanapun, Chong Zhemin endah tak endah dan mengabaikan fakta-fakta ini, memilih untuk terus memfitnah MCA tanpa rasa malu.”

MCA memberi tempoh 7 hari kepada Chong Zhemin untuk menarik balik ucapannya di media sosial, memohon maaf dan berjanji tidak akan memfitnah parti itu.

Mereka juga menuntut “bayaran balik yang munasabah serta pengiriman yuran mahkamah”.

Tiada ulasan: