Khamis, 9 Januari 2020

Masalah parti jadi sejarah, kata Azmin

Azmin Ali bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat 
Biro Politik di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor, malam ini.
 
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, masalah parti itu sudah menjadi “sejarah” dan tiba masanya untuk mereka meneruskan agenda demi kesejahteraan rakyat.

Beliau dan beberapa sekutunya, termasuk Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang dikatakan berdepan pemecatan, menghadiri mesyuarat Biro Politik di ibu pejabat parti itu malam ini.

Azmin yang tidak sebulu dengan Presidennya, Anwar Ibrahim, dan Zuraida tidak menghadiri mesyuarat parti secara berkala sebelum ini.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan perwakilan PKR di kongres nasionalnya di Melaka awal Disember lalu.

“Bagi saya itu sejarah, sekarang kita mahu ‘move on’.

“Saya rasa kita ambil pengajaran, saya fikir semua pimpinan harus mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku,” katanya selepas mesyuarat Biro Politik selesai kira-kira 9.35 malam tadi.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, mesyuarat malam ini adalah permulaan baik untuk meneruskan perjuangan parti.

“Saya fikir kita mesti bertemu lebih kerap dan berbincang, kita mesti saling menghormati dan memahami untuk menyatukan parti.”

Mengenai khabar angin berhubung desakan dalam parti untuk memecat Zuraida, Azmin berkata, beliau tidak akan melayan khabar angin.

Zuraida pula enggan memberitahu apa yang dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

Turut hadir Anwar, Naib Presiden, Tian Chua dan Ketua Penerangan, Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat itu membincangkan beberapa isu seperti ‘post morterm’ Kongres Nasional parti bulan lalu dan perkembangan antarabangsa, termasuk konflik Amerika Syarikat-Iran susulan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Qasem Soleimani.

Katanya, tiada keputusan dibuat berhubung isu disiplin parti kerana siasatan masih dijalankan.

Beliau turut menafikan khabar angin memecat Zuraida menjadi topik perbincangan mereka.

Tiada ulasan: