Ahad, 19 Januari 2020

Kenapa tiada tindakan Rafizi, Nurul Izzah tak hadir mesyuarat?


Manzaidi Mohd Amin


ratu-naga
Syarul Ema Rena Abu Samah

KUALA LUMPUR – Pemimpin Biro Politik PKR mempersoalkan kenapa parti perlu mengamalkan sikap pilih kasih dalam hal berkaitan kebebasan bersuara di kalangan pemimpin dan ahlinya.

Ketua Penerangannya, Syarul Ema Rena Abu Samah menegaskan, bukankah kebebasan bersuara itu hak setiap pemimpin dan ahli untuk meluahkan pendapat tanpa prejudis.

“Mengapa ada ‘double standard’ dalam isu kebebasan bersuara? Bukankah ianya hak setiap ahli dan pimpinan untuk meluahkan pendapat tanpa prejudis?

“Jika seseorang pemimpin atau ahli parti bersuara menyatakan pandangan yang tidak secocok dengan kita, adakah perlu kita mengambil tindakan terhadap individu tersebut?

“Tetapi jika pendapat itu sesuatu yang sedap untuk hati kita walaupun ianya tidak tetap dan benar, kita merelakan ianya begitu sahaja?” soalnya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ratu Naga kemudian bertanya, di manakah laungan hak kebebasan dan demokrasi dilaungkan selama ini, adakah serupa zaman Barisan Nasional (BN) yang memecat dan memenjarakan sesiapa yang bersuara.

Soal beliau lagi, kenapa Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah, Datuk Johari Abdul dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) lantikan tidak pernah mempersoalkan Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar tidak hadir mesyuarat.

“Kenapa tidak dengar suara mereka yang anti (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin mendesak kedua-dua naib presiden itu meletak jawatan?

“Kenapa harus dipertikai sebelah pihak sahaja? Pada hal Azmin dan Zuraida telah menang dan dipilih berbanding yang kalah dan kuat berbunyi.

“Bila dipilih dan menang, itu tandanya Azmin dan Zuraida adalah suara majoriti PKR. Malah, kita sedia maklum keduanya ini rajin serta bagus dalam memenuhi kerja serta amanah yang diberi rakyat dan patut dibanggakan. Tapi berlaku sebaliknya, bukankah ini ‘double standard’ namanya?” soal Ratu Naga lagi.

Beliau juga berkata, dalam situasi negara yang memerlukan tumpuan untuk pemulihan, adakah wajar Johari mengeruhkan lagi keadaan umpama menjadi pengadu domba di kalangan kepimpinan parti.

Sepatutnya, jika ada permasalahan berlaku beliau harus lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Mengapa Johari tidak pertikaikan mereka yang menyerang Timbalan Presiden dan Naib Presiden terlebih dahulu? Mengapa baru sekarang cuba menjadi jaguh mempertahankan presiden?

“Jika beliau seorang pemimpin berintegriti sudah pasti beliau akan mempertahankan bukan saja presiden, namun semua kepimpinan tertinggi parti,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: