Gugat perpaduan kaum, timbul suasana antinasional
BANGI– Polis digesa membuka kertas siasatan dan memanggil pertubuhan
radikal, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Zong) yang didakwa membantah pelaksanaan tulisan jawi di sekolah
vernakular.
Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan
Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Mohd Zai Mustafa mendakwa, tuntutan
berkenaan berikutan tindakan Dong Zong yang disifatkan sebagai menggugat
perpaduan kaum dan menimbulkan suasana antinasional.
Selain itu, beliau menuntut Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berjumpa pemimpin Dong Zong untuk memberi
keterangan, kerana mereka didakwa telah melakukan aktiviti yang
menyanggah perlembagaan pertubuhan di bawah seksyen 2.
“Bahkan, tindakan Dong Zong juga
melanggar Akta Hasutan 1948 serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya
dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, Dong Zong menggesa,
pertubuhan Cina lain di negara ini mendaftar untuk menghadiri kongres
yang kononnya untuk membantah garis panduan pengajaran tulisan jawi
terkini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kongres itu bertujuan menggesa kerajaan membatalkan pengajaran tiga muka surat tulisan jawi di sekolah vernakular.
Bagaimanapun, kongres berkenaan dibatalkan setelah polis mendapatkan perintah Mahkamah Kajang agar ia tidak diteruskan.
Mengulas lanjut, Mohd Zai berkata,
sekiranya terbukti Dong Zong melanggar undang-undang, maka tindakan
tegas dan segera mesti dilaksanakan seperti mengharamkan mereka kerana
membawa agenda rasis, cauvinis dan komunis.
“Selain itu, Mappim juga menyokong penuh
penegasan dan pendirian Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakari yang
menuntut penentang tulisan jawi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan