Khamis, 9 Januari 2020

Aktivis terangkan kenapa sidang Anwar mengecewakan

Anwar Ibrahim tiba di International Unity in Diversity Conference 
bersama Liew Chin Tong dari DAP (kiri), Omar Suleiman, 
Nuruddin Lemu, dan Yasir Qadhi, di Kuala Lumpur semalam.
 
KUALA LUMPUR: Ketua sebuah kumpulan reformasi Islam berkata persidangan tentang kepelbagai baru-baru ini yang menampilkan Anwar Ibrahim dan 3 penceramah asing tidak seperti temanya kerana ia gagal mengupas sektarianisme dan perbezaan-perbezaan dalam umat Islam.

Dr Ahmad Farouk Musa, yang mengetuai Islamic Renaissance Front, juga mempersoalkan kenapa speaker di International Unity in Diversity Conference itu tidak menghuraikan perpecahan Sunni-Syiah, walaupun perkara itu mendapat liputan di dunia Islam termasuk Malaysia.

Tetapi beliau sebenarnya tidak terkejut, mengatakan penceramah-penceramah di acara separuh hari semalam itu mungkin tidak berkebolehan untuk mengupas isu yang “perlu lebih daripada kata-kata bermotivasi”.

“Bagi saya persidangan itu lembut dan nampak amat sesuai dengan masyarakat Taman Tun dan Bangsar,” katanya ketika ditemui di tepian persidangan itu semalam, di mana beliau diundang sebagai peserta.

“Jenis ceramah tentang bagaimana menjadi orang Islam yang baik memang kehandalan penceramah-penceramah yang dipilih.”

Tiga penceramah asing itu antaranya Omar Suleiman dan Yasir Qadhi dari Amerika Syarikat, yang aktif dalam kursus agama untuk golongan profesional dan orang Islam yang fasih berbahasa Inggeris.

Seorang lagi penceramah Nuruddin Lemu dari Nigeria, yang juga sentiasa dicari-cari untuk menjalankan kursus agama.

Anwar menyampaikan ucaptama di persidangan itu, anjuran International Institute of Islamic Thought (IIIT), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Muslim Professionals Forum (MPF).

Penganjur sebelum ini menolak cadangan mengatakan persidangan itu respon kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang menampilkan Dr Mahathir Mohamad bulan lepas, yang menarik perhatian dunia selepas dikritik Arab Saudi.

Farouk tidak percaya persidangan semalam sidang balas kepada Sidang Kemuncak KL, tetapi sebarang persidangan yang bertemakan Islam dan kepelbagaian harus bincang permusuhan Sunni-Syiah, “isu paling menonjol dan berkaitan” apabila bercakap tentang kepelbagaian kepada peserta Islam.

“Saya tidak boleh terima alasan penceramah-penceramah itu tidak tahu masalah itu kerana mereka orang luar. Ini adalah isu sejagat dan kita berdepan masalah sama di negara ini yang mesti ditangani sebelum ia menjadi masalah kronik dalam masyarakat kita.”

Syiah merupakan ajaran kedua terbesar dalam Islam, dengan pengikut yang ramai di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian Arab Saudi, Yaman, dan Pakistan.

Pihak berkuasa agama di Malaysia selama ini menguatkuasakan fatwa mengisytiharkan ajaran Syiah “sesat”.

Farouk berkata penceramah-penceramah itu sekurang-kurangnya patut menegur ucapan seorang diplomat Saudi di Kuala Lumpur yang mengecam pengikut Syiah sebagai “sesat”.

“Kegagalan mengupas isu penting itu pada ketika ini sangat dikesali. Terutama apabila pengikut Syiah bukan sahaja dikecam diplomat Saudi, tetapi juga imam-imam tempatan dalam khutbah Jumaat di Selangor.

“Mana lagi tempat di dunia ini yang kita boleh temui kebencian sebegitu rupa terhadap saudara-saudara yang beriman pada Tuhan yang sama, Rasul yang sama, dan Al-Quran yang sama, kecuali di negara ini?”

Farouk berkata tema persidangan semalam, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian, boleh bermaksud kepelbagaian dalam masyarakat pelbagai budaya atau kepelbagaian mazhab Islam.

“Masalah utama yang kita hadapi di negara ini adalah dari segi kepelbagaian mazhab Islam, iaitu menerima kumpulan kecil seperti Syiah sebagai saudara seagama,” katanya.

“Isu Islamofobia juga disentuh, tetapi hal itu lebih mendesak di Barat berbanding persekitaran sosial sekarang.”

Tiada ulasan: