Sabtu, 10 Ogos 2019

Tuduhan Ikram nak kuasai Amanah berniat jahat


   

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menafikan dakwaan yang mengaitkan mereka dengan usaha terancang untuk menguasai parti politik Amanah.

Timbalan presidennya, Prof Badlishah Sham Baharin, malah menggangap pihak yang membuat tuduhan tersebut berniat jahat kerana sengaja mahu melaga-lagakan Ikram dengan sesebuah parti politik.

“Saya anggap itu sebagai tidak benar dan menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut. Kami (Ikram) adalah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan Amanah pula parti politik.

"Dari segi aktiviti dan bidang pun sudah berlainan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Akhir-akhir ini muncul dakwaan bahawa sesetengah anggota Ikram yang menyertai Amanah sedang cuba menguasai parti berkenaan melalui pemilihan parti.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini gerakan itu memang disedari namun ia tidak begitu ketara sebagai usaha yang menyeluruh.

“Ia mula dilihat bergerak selepas pilihan raya umum (PRU) tahun lepas," kata seorang sumber yang enggan didedahkan identitinya.

Beri persepsi negatif

Untuk rekod, Ikram pada asalnya lebih dikenali sebagai pertubuhan yang giat menjalankan kerja-kerja dakwah, kebajikan dan misi kemanusiaan.

Difahamkan tiada sebarang ciri kepartian dapat dilihat dengan jelas pada pertubuhan tersebut.
Bagaimanapun apabila Amanah ditubuhkan, ada pemimpin kanan Ikram menyertainya sebagai anggota pengasas.

Sementara itu sumber lain mendakwa usaha orang Ikram membina pengaruh dalam Amanah sambil mempromosikan pertubuhan tersebut berbanding mempopularkan parti.




Badlishah berkata, memang benar terdapat beberapa anggota Ikram yang melibatkan diri dalam politik namun ianya atas pilihan masing-masing.

“Ada ahli Ikram yang masuk parti politik, tapi itu atas dasar initiatif dan pilihan mereka.
“Kami (Ikram) tidak ada kena mengena dengan ahli Ikram yang masuk politik itu,” katanya.

Badlishah turut menjelaskan bahawa penglibatan pertubuhannya bersama anggota politik sudah dilakukan sejak BN masih menjadi kerajaan.

Namun kata Badlishah, kebanyakannya hanya bersifat pertemuan atau hubungan di antara NGO dan ahli politik sahaja.

“Tiada kerjasama yang lebih mendalam seperti yang didakwa, misalnya sehingga kami ingin bersatu atau menguasai Amanah.

"Kenyataan itu seolah-olah memberi persepsi buruk kepada Ikram,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir dan beliau tidak mahu memberikan penjelasan atas kenyataan tersebut.


Tiada ulasan: