Sabtu, 17 Ogos 2019

Pemimpin politik salah petik ceramah Dr Zakir undang ketegangan kaum - Pemuda PH

Astro Awani
Pemimpin politik salah petik ceramah Dr Zakir undang ketegangan kaum - Pemuda PH
Adi Ikmal (kiri) bersama beberapa pimpinan Pemuda PH membuat laporan polis mengenai isu Dr Zakir Naik di Putrajaya pada Jumaat. - Gambar AMK Putrajaya
 

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin politik yang memetik sedutan ceramah pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik di luar konteks yang dimaksudkan boleh menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum di negara ini.

Ketua AMK Putrajaya merangkap Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Putrajaya, Adi Ikmal Isa berkata, ia sekali gus langkah tidak bertanggungjawab pemimpin berkenaan yang boleh mencetuskan keadaan negatif dalam suasana keharmonian yang dikecapi rakyat selama ini.

“Atas sebab itu kita membuat laporan polis terhadap pemimpin politik yang telah menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Zakir dan juga agama Islam serta menjadikan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia menjadi tegang.

“Kita menyeru siasatan dijalankan secara segera dan adil demi keharmonian negara dan tindakan tegas hendaklah diambil dengan kadar yang segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat satu laporan polis dibuat Pemuda PH Putrajaya di balai polis daerah berkenaan.

BACA: Isu Zakir Naik: Ada banyak lagi kenyataan sensitif, tapi hanya sepihak dipersalah - Mufti Perlis

BACA: 
Isu Zakir Naik: PM tunggu siasatan polis, status PR mungkin ditarik

Pada 13 Ogos lepas, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran didakwa mengeluarkan kenyataan media bertajuk 'Zakir Naik's presence in Malaysia is embarassing to all Malaysians’.

Kenyataan itu didakwa disiarkan di dalam beberapa penerbitan media dan portal berita pada tarikh yang sama dengan tajuk 'Running down M’sians: Kula to bring up Zakir in Cabinet'.

Dalam pada itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan Zakir dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P Ramasamy berdebat secara terbuka dalam isu berbangkit.

Bagaimanapun, Ramasamy meletakkan syarat untuknya berdebat dengan Zakir seperti yang dicadangkan Mohd Asri sendiri.

Zakir pula pada Jumaat dilaporkan telah membuat laporan polis di sebuah Balai Polis di Shah Alam mengenai isu berkenaan.

Tiada ulasan: