Isnin, 5 Ogos 2019

'Kit Siang mesti hadir Pidato Zakir atau DAP tutup mulut'


   
Pemuda PAS Kelantan menggesa penasihat DAP Lim Kit Siang menghadiri program Pidato Dr Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV pada 9 Ogos nanti.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata pihak sekretariat penganjuran program sudah menghantar surat secara rasmi kepada anggota parlimen Iskandar Puteri itu, manakala salinan surat jemputan sudah dihantar ke Pejabat DAP Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

"Tujuan kita hantar salinan jemputan ini untuk memastikan pemimpin DAP yang dilihat anti terhadap Zakir dengan pelbagai pandangan serong serta negatif supaya benar-benar menerima jemputan kita.

"Jadi mereka tidak mempunyai alasan lagi untuk mengatakan mereka tidak terima jemputan.

"Kami mahu DAP datang dan membawa seramai mungkin penyokong dan hujah untuk membuktikan dakwaan yang dilemparkan terhadap pendakwah antarabangsa ini benar," kata Mohd Ariff pada sidang media yang diadakan di bangunan yang tertera papan tanda DAP Kelantan, terletak di Kampung Bunut Payong, di Kota Bharu.
Bagaimanapun difahamkan bangunan tersebut bukan lagi Pejabat DAP Kelantan dan sudah tidak digunakan.

Namun, Pemuda PAS Kelantan berkata mereka telah menghubungi pengerusi DAP Kelantan dan menyatakan salinan surat jemputan ditinggal di bangunan tersebut.

'Tak mahu lagi dengar suara sumbang'

Terdahulu, Kit Siang mengeluarkan kenyataan yang menyokong supaya Zakir keluar dari Malaysia secara sukarela.

Veteran DAP itu yang mengulas tulisan seorang penulis, Anas Zubedy berkata, Zakir perlu meninggalkan negara ini kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan negara.

Alasan itu adalah kehadiran Zakir boleh menimbulkan ketegangan dalam keluarga, persepsi bukan Islam terhadap Islam, perbandingan agama tidak sesuai serta melambatkan pemulihan politik di negara ini.
Sementara itu Mohd Ariff menegaskan jika Kit Siang gagal hadir pada program pidato Zakir tersebut, PAS tidak mahu lagi mendengar suara sumbang daripada pimpinan DAP terhadap pendakwah yang berasal dari India itu.

"Kalau mereka tidak hadir atau hadir tetapi gagal mengemukakan hujah apabila berdepan dengan Zakir, maka kita tidak mahu lagi dengar suara sumbang DAP terhadap beliau.

"Ya, Kit Siang perlu hadir, jika tidak pimpinan DAP perlu hentikan sebarang kenyataan terhadap Zakir. Kehadiran pemimpin DAP akan membuktikan bahawa mereka tidak anti-Islam dan bersesuaian dengan prinsip DAP yang dikatakan mengamalkan demokratik.

"Jika mereka tidak prejudis dan bersifat terbuka, mereka mesti hadir untuk berhadapan dengan Zakir secara terbuka," katanya

Tiada ulasan: