KUALA LUMPUR: Desakan
melampau dan angkuh para pemimpin DAP supaya Dr Zakir Naik keluar
daripada Malaysia menyerlahkan sikap sebenar mereka terhadap pendakwah
Islam dan hal ehwal agama ini.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che
Abdullah Mat Nawi berkata, para pemimpin parti itu khususnya Penasihat
DAP, Lim Kit Siang sewajarnya bersikap lebih rasional agar tidak terus
dilihat melulu dan emosi.
Sedangkan Dr Zakir katanya,
menyampaikan dakwah secara hujah dan wacana perbincangan, bukannya
menyebar kebencian atau bertindak secara ekstrem, radikal, militan
mahupun subversif.
Sehubungan itu, beliau yang juga
Pengarah Program Jelajah Dakwah Dr Zakir Naik Ke Kelantan 2019 mempelawa
Lim Kit Siang dan semua pimpinan DAP hadir ke Kota Bharu di Stadium
Sultan Muhammad IV pada Jumaat, 9 Ogos nanti.
Katanya, pihak beliau sedia
menyediakan segala kemudahan penginapan dan perjalanan kepada Lim Kit
Siang untuk bertemu sendiri dengan Dr Zakir Naik mengajukan sebarang
isu.
"Boleh bersoal jawab sendiri dengan Dr
Zakir. Persoal terus kepada Dr Zakir sama ada beliau patut balik ke
India atau tanyalah sebarang kemusykilan yang dikehendaki.
"YB Lim Kit Siang juga boleh membawa
pembantu yang berilmu untuk bersoal jawab dengan Dr Zakir Naik kiranya
perlu untuk berbahas berasaskan ilmu, dan bukannya prasangka atau
kebencian seperti yang ditunjuknya hari ini.
"Saya tertanya-tanya, apa dendam Lim
Kit Siang dan pemimpin DAP kepada Dr Zakir Naik? Sedangkan masyarakat
teruja berdepan hujahnya yang ilmiah dan berhikmah.
"Jadi, mari saya persiapkan segala
keperluan untuk YB Lim Kit Siang hadir dan agar kalian tidak perlu lagi
dilihat memanjangkan kebencian terhadap Islam dan pendakwah Islam,"
pelawa beliau. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan