Khamis, 8 Ogos 2019

'Kesilapan orang tua' - Jutawan mohon maaf ubah warna Jalur Gemilang

MALAYSIAKINI

    Tokoh perniagaan Lee Kim Yew memohon maaf kerana memuatnaikkan gambar Jalur Gemilang dengan jalur putihnya diubah kepada warna menjadi hitam ketika mengkritik dasar kerajaan mengenai pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Bhd itu, menjelaskan beliau telah meminta artis untuk menukar warna bendera berkenaan untuk "meluahkan perasaannya" mengenai isu tersebut, tetapi kemudian mengarahkan supaya warna kembali ke putih.

Gambar yang telah dipadamkan itu sebelum ini dimuat naik dengan artikel oleh Lee berhubung catatan di blognya yang terkini mengenai pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu untuk pelajar Tahun 4.

Dalam permohonan maaf hari ini, Lee menjelaskan bahawa buat dirinya, jalur putih pada bendera negara mewakili kesucian dan kebersihan, satu peringatan "untuk menjalani kehidupan bermoral yang bersih dan menjauhi rasuah".

"Ini perasaan saya tentang bagaimana sepatutnya buat negara kita yang dicintai, tetapi saya membuat kesilapan meminta artis untuk menyatakan perasaan saya dengan mengubah warna bendera, walaupun (dalam bentuk) grafik dan bukan bendera fizikal," katanya.
 Beliau juga menasihati generasi muda untuk mengelakkan kesilapan seperti yang dilakukan dirinya iaitu golongan "generasi lama".

Tiada ulasan: