640 petugas TH bergerak lebih awal ke Arafah, Mudzalifah dan Mina
MAKKAH– Kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia dijangka tiba di Arafah malam ini
waktu tempatan atau awal pagi esok waktu Malaysia, kata Ketua Rombongan
Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.
Beliau
berkata, jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah kira-kira pukul 6
pagi ini waktu tempatan atau 11 pagi waktu Malaysia dan digerakkan lebih
awal kerana jalan di sekitar Masjidil Haram akan ditutup pukul 10 pagi
ini untuk solat Jumaat hari ini.
“Jemaah
haji dihantar dengan tiga kumpulan, pada masa ini sebanyak 25 peratus
jemaah haji telah mula bergerak dan 15 peratus telah sampai di Arafah.
Alhamdulillah pergerakan jemaah haji berjalan lancar.
“Insya
Allah kumpulan pertama dan kedua berjalan pagi ini, namun kita jangkakan
ada jemaah haji dalam kumpulan ketiga dihantar selepas solat Jumaat
pada pukul 2 petang ini,” katanya kepada pemberita setelah melepaskan
jemaah haji menuju ke Arafah di Abraj Janadryiah di sini hari ini.
Operasi
masyair Tabung Haji (TH) melibatkan 640 petugas haji kebajikan dan
perubatan yang digerakkan lebih awal ke Arafah, Mudzalifah dan Mina.
Ini adalah
pergerakan jemaah terbesar atau raksasa bagi menyertai lebih dua juta
lagi jemaah dari seluruh dunia untuk berwukuf sebagai rukun kedua ibadah
Haji.
Syed Saleh
berkata, untuk program Safari Wukuf pula, persediaan sedang dilakukan
petugas TH untuk membawa pesakit di wad Pusat Rawatan TH Syisyah di sini
untuk berwukuf di Arafah.
“Sehingga
semalam kita ada 98 pesakit untuk dibawa, tetapi malam ini kita akan
memuktamadkan jumlah dan bila jemaah haji ini berkenaan akan dibawa ke
Arafah,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan