Sabtu, 17 Ogos 2019

Isu Zakir: NGO gesa PM tidak tunduk 'desakan minoriti'


   

Sebuah NGO yang dinamakan sebagai Persatuan Saudara Islam meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad supaya tidak tunduk dengan desakan "kumpulan minoriti" yang mahukan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik diusir dari Malaysia.

Presidennya, Osman Abu Bakar menyokong pendirian perdana menteri sebelum ini untuk membenarkan Zakir berada di negara ini.

"Keputusan Dr Mahathir (mempertahankan Zakir) amat kami alu-alukan dan kami menyokong pendirian beliau.

"Kami amat berharap agar Dr Mahathir tidak tunduk kepada desakan kumpulan minoriti yang mahukan Zakir diusir keluar," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Osman (Gambar berbaju batik) sebelum itu bersama ahli persatuan berkenaan membuat laporan polis terhadap lima individu yang didakwa memutarbelitkan kenyataan Zakir sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Lima individu terbabit ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy; Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago; Adun Bagan Dalam, M Satees dan bekas duta Malaysia ke Argentina, Dennis J Ignatius.

Dalam laporan polis yang dibuat, Osman meminta lima individu berkenaan disiasat di bawah Akta Hasutan.

'Jangan campuri urusan umat Islam'

Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan keputusan untuk membenarkan Zakir tinggal di negara ini umpama 'ditelan mati emak, di luah mati bapa'.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru perdana menteri berkata status Zakir sebagai Penduduk Tetap (PR) akan ditarik balik jika polis mendapati pendakwah berkenaan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

Semalam, Zakir yang juga penceramah bebas dipanggil ke Bukit Aman untuk keterangan direkodkan berhubung ceramahnya di Kelantan pada 8 Ogos lalu, yang didakwa berbaur perkauman.

Pihak polis juga tidak membenarkan pendakwah itu berucap dalam satu program yang dijadulkan berlangsung di Perlis.

Sementara itu, Osman meminta rakyat berbilang kaum di negara ini menghormati agama masing-masing dan jangan sesekali mencampuri urusan umat Islam.

"Umat Islam tidak pernah mempertikai kepercayaan penganut agama lain di negara ini. Jadi, bukan Islam jangan mencampuri urusan agama Islam.

"Bahkan pada musim perayaan tertentu penganut agama lain, pihak berkuasa yang beragama Islam ditugaskan untuk menjaga keamanan.

"Jadi, bagi bukan Islam jangan campuri urusan umat Islam apatah lagi anda tidak faham tentang Islam," katanya.


Tiada ulasan: