Rabu, 7 Ogos 2019

Henti skim bantuan malapetaka besar buat pekebun kecil

ainulillia 

 

Keputusan yang dibuat lambang sikap 'bodoh sombong' menteri PH

BANGI – “Menghentikan skim bantuan tanaman semula pekebun kecil getah amat mengejutkan dan sangat dikesali. Ini malapetaka besar bagi 355,000 pekebun kecil getah di negara ini.

“Pakatan Harapan khususnya DAP bukanlah parti yang boleh diharap,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Menyifatkan alasan itu sebagai dangkal, Sanusi menegaskan, jika Teresa Kok berkata dengan melaksanakan langkah ‘semua pihak tidak dapat bantuan’ adalah satu keadilan, maka langkah’memberi bantuan kepada semua pihak’ adalah satu keadilan yang lebih baik dan perlu diutamakan. 

Beliau turut menyifatkan pengumuman tersebut sebagai lambang kejahilan dan sikap ‘bodoh sombong’ menteri PH dalam menguruskan hal ehwal pekebun kecil dan penoreh. 

“Di saat komoditi getah sedang tenat dari sudut harganya, bayaran tanaman semula yang menjadi hak pekebun berdasarkan peraturan yang sah, cuba dinafikan pula. Kegilaan apakah ini?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ‘bantuan’ tanaman semula yang dipraktikkan berpuluh tahun itu adalah bersumberkan cukai ses yang dikutip daripada hasil jualan (eksport) getah para pekebun. 

Katanya, sejak tahun 1952, bagi membiayai dan melaksanakan Rancangan Tanam Semula kebun getah pekebun kecil, kerajaan telah meluluskan Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952 yang memperuntukkan kutipan cukai ses  RM0.14 sen bagi setiap kilogram getah yang dieksport. 

“Daripada kutipan ses ini, 10 sen dikumpulkan untuk dipulangkan sebagai ‘bantuan’ tanaman semula sementara 4 sen lagi diperuntukkan untuk penyelidikan. 

“Dalam skim tanam semula bagi sektor ladang (keluasan melebihi 100 ekar/40.5 hektar) terdapat peruntukan di bawah seksyen 10, Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula – 1952 setelah dipinda oleh Akta RISDA 1972). 

“Skim yang dinamakan Rancangan Perusahaan Getah (Penanaman Semula) Bagi Estet 1974, memperuntukan supaya wang SES yang dipungut dikembalikan terus kepada pemilik ladang-ladang besar (melebihi 40.5 hektar) dalam bentuk wang tunai mengikut bukti pengeluaran mereka setiap suku tahun. Langkah ini dibuat agar mereka dapat menguruskan sendiri pembiayaan tanaman semula ladang mereka kelak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, akibat PH menyerahkan satu urusan kepada orang yang bukan ahlinya, maka langkah sumbang seperti ini telah terjadi sewenang-wenangnya. 

“Justeru, PAS Kedah mendesak Teresa Kok menarik balik pengumuman itu serta merta, dan memohon maaf atas kegagalan beliau mencari jalan keluar dalam krisis harga getah yang merudum pada waktu ini,” katanya.


Tiada ulasan: