Isnin, 12 Ogos 2019

Guan Eng sekali lagi mahu bangkit isu khat Jawi dalam Kabinet

Kasthuri Jeevendran
MGF16072019_PEGAWAI-KEMAJUAN-PERKAMPUNGAN_13-1
Lim Guan Eng. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Ekoran rasa tidak puas hati dalam kalangan bukan Melayu berhubung pengenalan seni khat kelak di peringkat sekolah rendah, DAP akan membangkitkan sekali lagi isu tersebut dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hasrat tersebut didorong oleh perkembangan terbaharu rundingan dan maklum balas awam supaya pembelajaran seni khat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil dikaji semula.

“Perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan ia tiada kaitan sama ada seorang menteri memaklumkan atau tidak memaklumkan, bahawa ramai menteri yang tidak bersetuju dengan pengenalan (seni khat) di sekolah rendah Cina dan Tamil,” katanya dalam kenyataan di sini.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat minggu lalu, Kabinet hanya bersetuju untuk menjadikan pembelajaran ilustrusi Jawi dalam buku darjah 4 sebagai pilihan, daripada enam muka surat kepada 3 muka surat dan tidak dimasukkan dalam peperiksaan.

Katanya, menteri-menteri DAP juga telah melahirkan sentimen tidak gembira dalam kalangan komuniti bukan Melayu apabila Kementerian Pendidikan meneruskan keputusan untuk melaksanakan pembelajaran khat jawi tanpa berunding dengan pihak-pihak berkepentingan di sekolah Cina dan Tamil.

Minggu lepas Kabinet memutuskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat semua sekolah termasuk SJK Cina danTamil diteruskan seperti dirancang dengan beberapa langkah penyesuaian.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Kabinet juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.

“Kabinet dalam keputusannya memaklumkan pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat dalam buku teks Bahasa Melayu.

“Selain itu, jemaah menteri juga sepakat bersetuju supaya pengenalan tulisan khat ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

“Kementerian Pendidikan berharap dengan keputusan dibuat ini, isu pengenalan tulisan khat tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya.

Guan Eng dalam reaksinya selepas pengumuman itu berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia memandang ke hadapan. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: