Selasa, 6 Ogos 2019

Akhbar Cina timbulkan kebimbangan mengenai isu Jawi- Guan Eng

MALAYSIAKINI

   

Laporan akhbar Cina mengenai pengenalan tulisan Jawi bagi murid Tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan telah menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina, kata setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau memetik laporan Sin Chew Daily mengenai kebimbangan masyarakat bukan Melayu berhubung rancangan kementerian pendidikan itu.

"Ketika saya kembali ke rumah selepas 4 hari berada di luar negara, saya berhadapan rasa tidak puas hati masyarakat bukan Melayu berikutan laporan Sin Chew Jit Poh bahawa buku teks Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 4 di sekolah-sekolah Cina dan Tamil akan memasukkan seni khat.

"Walaupun seni khat atau Jawi adalah sumber kepada bahasa Bahasa Malaysia, laporan berita itu berjaya menimbulkan kebimbangan bahawa watak dan identiti sekolah-sekolah Cina dan Tamil akan terjejas," kata Lim dalam hantaran di Facebook ketika menghadiri pertemuan dengan wakil-wakil rakyat DAP.

Rancangan kerajaan memperkenalkan 6 halaman seni khat dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 4 pertama kali dilaporkan oleh Sin Chew Daily. 

Wakil rakyat DAP di seluruh negara dipanggil ke ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur untuk membincangkan isu itu susulan rasa tidak puas hati masyarakat bukan Melayu terhadap rancangan berkenaan.

Pemimpin kanan DAP termasuk Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mempertahankan langkah tersebut namun ia dibantah pemimpin-pemimpin akar umbi.

Dalam hantarannya di Facebook malam ini, Lim berkata beliau akan mendengar pandangan mereka.
"Saya mendengar pandangan wakil rakyat parti, aktivis masyarakat dan saya juga telah bertemu dengan perdana menteri dan menteri pendidikan hari ini.

"Akan keluarkan kenyataan rasmi kemudian," katanya.

Enam halaman pengajaran tulisan khat Jawi itu turut merangkumi sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Mereka yang menentang langkah itu berpendapat ia akan membebankan pelajar dan merupakan proses Islamisasi disebabkan persepsi bahawa Jawi dan kaligrafi khat berkenaan berkaitan kesusasteraan Islam.

Bagaimanapun, pemimpin kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata khat tidak eksklusif untuk umat Islam dan dianggap sebagai seni semata-mata.


Tiada ulasan: