Isnin, 12 Ogos 2019

Ahli Parlimen DAP gesa PH kaji proses buat keputusan selepas isu Zakir Naik, khat

Charles Santiago berkata, isu kontroversi membabitkan kaum 
dan agama perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan mengkaji proses membuat keputusan susulan keputusan Putrajaya ke atas isu seni khat dan isu lain termasuk pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Wakil rakyat DAP itu berkata, ada terlalu banyak kuasa di tangan perdana menteri yang sepatutnya dikongsi secara sama rata di kalangan parti komponen PH.

“Isu kontroversi dalam kerajaan membabitkan kaum dan agama patut dibincangkan melalui majlis itu.

“Kita tidak boleh menyingkirkan bekas perdana menteri, Najib Razak hanya untuk menjadi sepertinya.”

Baru-baru ini, kumpulan pendidikan Cina dan Tamil membantah pengenalan seni khat dalam subjek bahasa Melayu di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai tahun depan.

Santiago berkata, Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik tentunya sedar sensitiviti berhubung isu itu sebelum mencadangkan idea berkenaan.

“Dan kenapa rakyat tidak curiga? Kerajaan PH melindungi pendakwah kontroversi, Zakir Naik,” katanya sambil menambah Naik diberikan status penduduk tetap di Malaysia, walaupun dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan aktiviti pengganas.

Beliau turut menyentuh pusingan U dibuat Putrajaya berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan penarikan daripada mengiktiraf Statut Rom.

“Minggu depan, kerajaan akan menarik balik janji dalam manifestonya apabila ia memperbaharui lesen operasi Lynas.

“Kerajaan jelas tidak mempunyai rekod baik untuk memenangi keyakinan rakyat.

“Sekarang, Mahathir patut boleh baca mood rakyat. Dan beliau perlu memahami keputusan yang dibuat sewenang-wenangnya tanpa perbincangan tidak akan berjaya.”

Tiada ulasan: