Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mengakui bahawa beliau
telah menerima notis takziran cukai yang tidak dijangkakan dan beliau
tidak berpuas hati.
“Kita akan minta kaji dan akan cari cara
spesifik mengikut proses sebab pengiraan asas, definisi pendapatan yang
dikira itu sangat menimbulkan tanda tanya," katanya kepada pemberita di
lobi Parlimen.
Najib berkata beliau tidak dapat berkongsi butiran notis berkenaan.
“Ia sedang disediakan, kami fikir ia tidak adil, kami akan cari macam mana yang boleh dibuat mengikut proses,” katanya.
Mengenai
sama ada beliau akan mengotakan janji awalnya untuk menghasilkan bukti
bahawa sebahagian daripada pendapatan itu membabitkan "sumbangan", Najib
mengesahkannya.
Walau
bagaimanapun, apabila disoal sebanyak dua kali sama ada notis taksiran
cukai itu berjumlah RM1.5 bilion, seperti yang dilaporkan oleh The Edge Markets semalam, Najib tidak memberi sebarang jawapan.
Laporan itu menyatakan jumlah berkenaan adalah untuk tempoh 2011 hingga 2017, dan notis cukai tersebut dihantar seminggu lalu.
Antara
lain, laporan tersebut mendakwa bahawa Najib belum mengisytiharkan
pendapatan kira-kira RM4 bilion sepanjang tempoh berkenaan, termasuk
RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya sebelum ini yang didakwa berpunca
dari 1MDB.
Susulan itu, Najib menulis di Facebooka bahawa
pendapatan asing, termasuk sumbangan yang didakwa dari kerabat Raja Arab
Saudi, tidak dikenakan cukai pendapatan.
Walau bagaimanapun,
teori sumbangan Saudi itu telah dinafikan oleh Jabatan Keadilan Amerika
Syarikat dan beberapa laporan akhbar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan