Rabu, 3 April 2019

Surat bidaan daripada broker tak bertauliah ke? – Ka Siong

Wartawan MalaysiaGazette

xsurat1-681x715
Surat daripada seorang pembida yang berminat untuk memiliki Bangunan Malaysia di Hong Kong. foto FB Wee Ka Siong


KUALA LUMPUR – Sepucuk surat daripada pihak yang didakwa menawar bidaan sebanyak RM1.68 bilion bagi membeli Bangunan Malaysia di Hong Kong menimbulkan banyak persoalan.

Surat yang kononnya daripada sebuah firma guaman itu didakwa Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempunyai mutu bahasa Inggeris yang teruk sekali.

Selain itu, ‘surat bidaan’ itu penuh dengan ‘grammatical mistakes’ (kesalahan tatabahasa).

surat2

Oleh sebab itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mendakwa surat yang didakwa Lim Guan Eng daripada pembida itu sebenarnya lebih mirip kepada surat broker tidak bertauliah.

“Bagi saya, ini lebih mirip kepada surat broker yang tidak bertauliah, bukannya peguam dari Hong Kong yang mempunyai tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang tinggi.

“Bagaimana syarikat yang mampu membayar RM1.68 bilion bersamaan HK$3.3bil melantik seorang agen/peguam yang begitu rendah standardnya,” kata Ka Siong dalam hantaran di Facebooknya.

Malah, Presiden MCA itu turut mendedahkan beberapa kelemahan dan kesilapan yang terkandung dalam surat berikut:

(i) Masalah tatabahasa yang teruk dan ayat yang lintang-pukang. Contohnya ENTIRE WHOLE Malaysia Building, apakah ini penggunaan Queen English? Orang Hong Kong pasti tak faham!

(ii) “Our client believe will help to improve the FINANCIAL of Malaysian Government”…. Ayat ini berbelit-belit! Apa maksud sebenar? Pembeli nak membantu memperbaiki ekonomi Malaysia dengan membeli Bangunan Malaysia? Baik hati sungguh pembeli ini!

(iii)... “to thank the YB Tuan who is considering and supporting this proposal for the benefit of ALL” ….. ALL? Maksudnya apa? Macam mana Menteri “bersedia memberi sokongan terhadap cadangan” kalau ianya tender terbuka? Keputusan tender ditentukan seorang atau Lembaga Tender?

Tambahnya, surat itu juga terlalu banyak keraguan yang ditonjolkan.

Dakwa Ka Siong, surat berkenaan cuma menyatakan hasrat untuk bidaan dan bukannya tawaran bidaan rasmi dengan pembayaran deposit sebagai komitmen.

Beliau turut mempersoalkan mana laporan penilaian hartanah terkini yang dijalankan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum menetapkan harga asas.

“Bila notis tender terbuka disiarkan? Bila pula proses tender ditutup? Bila lembaga tender bersidang dan memilih bidaan tertinggi? Kalau belum lagi, surat ini tiada kena mengena dengan tender terbuka.

“Yang boleh memohon sokongan menteri ini lebih mirip kepada tender rundingan terus atau tender selektif bukannya tender terbuka,” jelasnya.

Beliau kemudian menyindir Guan Eng dengan berkata: :Kalau Guan Eng nak tunjuk surat, biarlah tunjuk surat yang berkualiti dan penuh dengan professionalisme.

“Jika tidak, kita akan ditertawakan dunia! Kerajaan bukan mencari khidmat broker tidak bertauliah, biarlah profesional dan jangan bersikap “provisional”!,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: