Ahad, 7 April 2019

‘Statut Rom memang mengeliru’

ISMA WEB

Pemimpin Islam, Melayu dalam kerajaan takut kepada DAP: Amir Isma


BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menyokong keputusan kerajaan menarik diri daripada Statut Rom, yang boleh mengancam kedaulatan negara.

Namun, pada masa sama Isma sekali lagi mengingatkan pemimpin Islam dan Melayu di dalam Kerajaan Malaysia baharu supaya tidak mengikut rentak sesetengah pihak, terutama parti cauvinis DAP, dalam membuat sebarang keputusan penting demi rakyat dan negara.

Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, kerajaan sepatutnya mengambil kira pendapat orang ramai, terutama ahli akademik yang pakar dalam perundangan serta Perlembagaan Persekutuan, sebelum menandatangani sesuatu perjanjian yang ada kaitan dengan kedaulatan negara.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom, berikutan terlalu banyak kekeliruan, dan mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja Melayu.

Ia mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2002. Sehingga Mac 2019, 124 daripada 193 ahli PBB telah menerima perjanjian itu.

Namun, negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Russia dan China, serta India dan Israel menolaknya. Semua negara-negara jiran kita Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand tidak menerimanya, sementara Filipina baru sahaja menarik balik keanggotaannya.

Statut Rome adalah suatu perjanjian antarabangsa bagi mewujudkan ICC yang berfungsi sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada di sesuatu Negara Pihak (State Party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti yang terkandung dalam Artikel 5 Statut Rom iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Sebelum ini, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, berpendapat Perlembagaan perlu dipinda, selain keperluan mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, berdasarkan peruntukan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ustaz Abdullah Zaik berkata, sememangnya Statut Rom itu mengelirukan dan jika dikaji secara teliti ia tidak memberi apa-apa kebaikan kepada Malaysia.

“Lagi pula negara sudah mempunyai banyak undang-undang yang boleh diguna pakai dalam menguatkuasakan peraturan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, menandatangani Statut Rom bukanlah agenda nasional, bahkan hanya meletakkan Malaysia berada di bawah kuasa asing apabila sesuatu krisis berlaku di negara ini.

Beliau bimbang Statut Rom boleh digunakan secara salah oleh musuh negara yang berseteru dengan umat Islam.

“Umat Islam sepatutnya memilih mekanisme dalaman untuk menyelesaikan masalah dalam negara.
“Seperti firman Allah yang bermaksud, ‘Jika kalian berselisih dalam suatu hal, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya‘ (An-Nisa: 59),” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan pemimpin Islam dan Melayu di dalam kerajaan sekarang supaya berhati-hati dengan agenda pihak tertentu yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular dan liberal.

Katanya, hampir setahun Malaysia ditadbir PH apa yang berlaku ialah pemimpin atau menteri-menteri DAP telah menunjukkan secara terang agenda yang mereka hendak buat terhadap Malaysia.

Beliau memberi contoh, semalam, apabila Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kula Segaran membangkitkan pula isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina, yang katanya diiktiraf untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Baru saja Perdana Menteri memberi penjelasan bahawa hanya kerajaan sahaja yang layak mengiktiraf UEC itu, tetapi hari ini Menteri Sumber Manusia daripada DAP kata UEC boleh diguna untuk masuk TVET.

“Siapa yang sebenarnya mengetuai pentadbiran sekarang? Adakah DAP hendak menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak ada kuasa apa-apa, atau kerana mereka (DAP) yang memonopoli pentadbiran?,” katanya.

Contoh lain, katanya, apabila Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPUM) dipengerusikan Peguam Negara mengumumkan mereka mengiktiraf UEC bagi Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), serta-merta pemimpin DAP menyokong.

“Adakah Menteri Pendidikan menegur timbalannya yang serta-merta menyokong kenyataan lembaga kelayakan itu mengiktiraf UEC bagi menduduki CLP? Adakah Peguam Negara atau LKPUM mengikut arahan DAP?

“DAP juga sekarang ini adalah sebahagian daripada kerajaan. Tetapi kenapa mereka bertindak sebelah pihak, tidak peduli dan membelakangkan rakan-rakan lain dalam gabungan. Pasti mereka ada agenda tersendiri.

“Kita bimbang jika dibiarkan mereka akan merombak segala-galanya, sementara pemimpin Islam dan Melayu rakan sekutu mereka diam tidak bersuara. Dan ini, sedang berlaku sekarang,” katanya.

Ustaz Abdullah Zaik berkata, apa yang dilihat sekarang ini ialah pemimpin Islam dan Melayu dalam Kerajaan Malaysia hanya mengikut telunjuk DAP dan tidak berani membantah.

“Oleh itu, Isma berharap pemimpin Islam dan Melayu dalam kerajaan sekarang ini, bermuhasabah diri, tidak mengikut telunjuk DAP. Berwaspada selalu dengan tingkah-laku parti rasis itu,” katanya.


Tiada ulasan: