Ahad, 7 April 2019

Kain rentang ‘Jan Undi Keling’: Tak masuk akal ada logo BN

ISMA WEB

Najib gesa polis jejaki dalang gantung kain rentang hina kaum India


BANGI – Tidak masuk akal apabila Barisan Nasional (BN) meletakkan logo parti pada kain rentang yang secara sengaja menyinggung perasaan kaum India, dan kemudian menggantungnya untuk ditonton khalayak.

“Sejelas-jelasnya, adakah masuk akal untuk BN menggantung satu kain rentang yang secara sengaja menyinggung komuniti kaum India malah turut meletakkan logo parti sebagai ‘bukti’ kononnya BN adalah parti yang bertanggungjawab terhadap kain rentang itu hingga menyebabkan BN hilang sokongan undi dari kaum India?,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas tindakan pihak tertentu menggantung kain rentang ‘Jan Undi Keling’ pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Negeri Sembilan, bekas Perdana Menteri, berkata pihak yang akan mendapat manfaat daripada penggunaan kain rentang bersifat provokatif itu adalah dalang sebenar menggantung kain rentang itu.

“Itu sahaja jawapan yang logik serta masuk akal dan saya menggesa Polis Diraja Malaysia di bawah kerajaan PH akan menjejaki dalang yang bertanggungjawab terhadap kain rentang biadap ini.

“BN sudahpun menafikan menggantung kain rentang ini dan kita juga menggesa parti lawan untuk berhenti menggunakan taktik kotor dan bersifat perkauman,” katanya.

Beliau menjelaskan, operasi bendera palsu atau ‘false flag’ bertujuan memperdaya, di mana penipuan itu dicetuskan dengan melambangkan sesuatu parti bertanggungjawab terhadap aktiviti tertentu, mengaburi dalang sebenar yang bertanggungjawab.

Katanya, satu contoh operasi bendera palsu ini ialah menaikkan kain rentang yang secara sengaja menghina seseorang individu dan kemudiannya menuding jari kepada pihak lawan sebagai orang yang bertanggungjawab.

“Di Rantau, BN tahu kita mempunyai sokongan kuat daripada komuniti Melayu, namun tetap memerlukan sokongan bukan Melayu, termasuk kaum India sebagai komuniti kedua terbesar memberikan sokongan kepada kita untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil ini,” katanya.

PRK Rantau pada 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Dr S Streram; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN) dan dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 terbatal dan tidak sah.


Tiada ulasan: