Khamis, 11 April 2019

Prosiding PAC kes tanah DBKL babit Peguam Negara, SPRM

ISMA WEB

Tommy, Mohd Shukri akan sambung keterangan prosiding 23 April

KUALA LUMPUR – Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai transaksi penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 23 April ini akan turut membabitkan Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Pengerusi PAC baharu, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pembabitan dua pihak itu bagi menyambung semula prosiding sebelum ini yang berlangsung di bawah bekas pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Kedua-dua mereka telah bersetuju untuk bersama kita dalam sambungan prosiding itu,” katanya pada sidang media sempena pelantikan beliau sebagai pengerusi baharu di bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Noraini mengharapkan sokongan anggota jawatankuasa PAC untuk bersama-sama menjalankan tugas yang diamanahkan tanpa berlandaskan kepartian.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Pembangkang, Anggota Parlimen Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang mencadangkan nama saya dan juga blok pembangkang serta anggota Parlimen lain yang menerima usul ini sebulat suara.

“Terima kasih juga kepada bekas pengerusi PAC, Kiandee kerana menjalankan tugas yang begitu baik sepanjang empat bulan demi memajukan jawatankuasa ini serta bantuan rakan-rakan PAC lain,” katanya.

Menjadi wanita pertama memegang jawatan itu, Noraini percaya kerjasama erat yang dipamerkan anggota PAC sejak beliau menyertai jawatankuasa itu pada Disember lepas akan memudahkannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengerusi yang baharu.

“Menjadi wanita pertama sebagai pengerusi PAC bukan tugas mudah namun kerjasama baik untuk menilai semua kes yang dibawa kepada kami dianggap sebagai tanggungjawab bersama yang tinggi,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: