Rabu, 17 April 2019

Pihak pendakwaan panggil saksi keempat


    LANGSUNG | Perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak masuk hari keempat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Seperti biasa Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan kes berprofil tinggi ini.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB
 LANGSUNG

12.10 tengah hari: Farhan mengesahkan dia mengarahkan pegawai serbuan Bank Negara Azizul Adzani Abdul Rahman menyerbu Ambank Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Farhan, 32, pegawai penyiasat di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara pada masa itu berkata, dia memberi arahan kepada Azizul berkaitan salah laku disyaki berlaku bawah Bahagian 4 Amlatfa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal balas utama oleh timbalan pendakwa raya (DPP).

Sebelum itu, Azizul yang juga pegawai penyiasat di bahagian sama, memberi keterangan bahawa dia menerima arahan dari Farhan untuk menyerbu bank komersial dan merampas dokumen bank berkaitan akaun Najib, SRC International dan anak syarikatnya Gandingan Mentari.

11.59 pagi: Pihak pendakwaan memanggil saksi keempat, iaitu pegawai penyiasat Bank Negara Farhan Sharifuddin.

11.08 pagi: Najib masuk semula ke kandang tertuduh. Prosiding bersambung dengan soal balas Harvinderjit terhadap Mohammad Nizam.

10.59 pagi: Tertuduh, bekas perdana menteri, Najib Razak mengambil tempat di bahagian galeri awam sementara prosiding berehat selama lima minit.

Sebelum itu, peguam Najib Harvinderjit Singh menyoal balas saksi ketiga pihak pendakwaan Mohammad Nizam Yahya berkaitan dokumen yang dirampas dari Affin Bank pada 6 Julai 2015.

Dokumen-dokumen itu berkaitan tiga akaun semasa SRC International di cawangan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Azizul Adzani Abdul Ghafar 
10.20 pagi: Saksi pendakwaan kedua, Pengurus Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar memberi keterangan beliau memasukkan sebab kesalahan yang disyaki di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) berdasarkan transaksi yang disenaraikan dalam dokumen yang disita di Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Semasa pemeriksaan balah oleh Timbalan Pendakwaraya (DPP) Suhaimi Ibrahim, pegawai penyiasat Bank Negara itu berkata sifat kesalahan yang disyaki dilihat dalam dokumen bank Najib, SRC International dan Gandingan Mentari yang dirampas membuatkan dirinya menyatakan kesalahan yang disyaki itu di bawah peruntukan Seksyen 4 (1) Amlatfa.

Pada keterangan terdahulu, pegawai BNM berusia 41 tahun itu memberitahu mahkamah perintah awal yang diberikan kepadanya sebelum serbuan pihaknya terhadap Ambank Raja Chulan adalah bertujuan mengumpul dokumen mengenai kesalahan yang disyaki di bawah Bahagian 4 Amlatfa.

Keterangan Azizul hari ini bagi menjawab pemeriksaan balas oleh peguam Najib Harvinderjit Singh yang menyoal mengenai percanggahan antara kesalahan yang disyaki pada Bahagian 4 dalam arahan awal dan kesalahan Seksyen 4 (1) yang dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat sehari selepas serbuan berkenaan.

9.45 pagi: Perbicaraan kes bermula dan bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan duduk. Beliau dilihat meletakkan buku yang dibacanya sebelum ini.

9.32 pagi: Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan duduk di tempat duduk galeri awam. Sementara menunggu prosiding bermula, MP Pekan dilihat membaca buku.

Turut masuk ke bilik mahkamah peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan. Beliau mengambil tempat duduk di bahagian hadapan.

Terdahulu di bilik lain Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, bekas perdana menteri hadir pendengaran kes berlainan mengenai tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

9.25 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas masuk ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 Kuala Lumpur bersama anggota pasukan pendakwaan lain.
9.05 pagi: Najib Razak tiba di bangunan mahkamah Kuala Lumpur. Najib menaiki kereta Proton Perdana berplat nombor TN 50. Sejurus turun dari kenderaannya, penyokong bekas perdana menteri yang majoritinya wanita berdoa terhadap pemimpin mereka.

Najib yang bersut coklat juga menadah tangan dan turut sama berdoa sebelum meninggalkan perkarangan lobi dan menuju ketingkat atas.

8:45 pagi: Seramai 40 Penyokong Najib dari Pekan Pahang tiba diperkarangan dan mereka memaklumkan sampi dari Pahang pada jam 5 pagi tadi.


Anggota parlimen Pekan itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Ahli politik berusia 65 tahun itu - yang pernah menjadi menteri kewangan sebelum ini - turut dihadapkan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dana yang sama.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB
Kes Najib akan dibicarakan dihadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Perbicaraan hari ini akan bermula dengan pasukan peguambela Najib menyoal balas saksi ketiga pendakwaan, penganalisis Jabatan Perisikan Kewangan Bank Negara, Mohammad Nizam Yahya.

Pada hari ketiga perbicaraan semalam, Nizam, 39, memberi keterangan beliau telah mernyita dokumen berkaitan tiga akaun semasa anak syarikat SRC International, Ihsan Perdana Sdn Bhd di Affin Bank Berhad di Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Katanya, dokumen yang disita itu terdiri daripada borang pembukaan akaun, borang spesimen tandatangan, senarai pihak yang berkuasa menurunkan tandatangan, penyata berkaitan pembukaan akaun tersebut serta borang Customer Due Dilligence (CDD) bagi ketiga-tiga akaun itu.

Semalam, saksi pendakwaan kedua, pegawai penyiasat Bank Negara, Azizul Adzani Abdul Ghafar pula memberitahu mahkamah bahawa antara RM40 juta dan RM5 juta telah ditransaksi dalam akaun milik Najib, SRC International dan unitnya Gandingan Mentari Sdn Bhd antara 24 Disember 2014, dan 13 Februari 2015.

Azizul, 41, berkata hal ini diteliti pada dokumen mengenai akaun Najib dan kedua-dua syarikat yang dirampasnya dari cawangan Ambank di Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Serbuan terhadap kedua bank itu dibuat selepas empat hari akhbar perniagaan The Wall Street Journal melaporkan para penyiasat percaya sekurang-kurangnya AS$700 juta telah mengalir ke dalam akaun bank Najib.

Tiada ulasan: