Shahbudin Husin
Kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan PH akan berdepan
masalah jika rakyat ketika ini berasa menyesal mengundi gabungan itu
dalam PRU14 yang lalu.
Tegas beliau, pilihan itu hanya dilihat betul jika rakyat merasakan
kehidupan mereka di bawah kerajaan PH ini adalah lebih baik berbanding
semasa BN dahulu.
“Kalau mereka merasakan suatu kesilapan mengundi BN, ia adalah petanda bahaya kepada PH,” ujar beliau lagi.
Apa sebenarnya perasaan rakyat ketika ini?
Kenapa hanya dalam tempoh beberapa bulan saja selepas menumbangkan
Najib Razak, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah disanjung serta
diminati semula?
Mengapa dalam tiga PRK terakhir – Cameron Highlands, Semenyih dan
Rantau – pengundi tidak lagi memberi kemenangan kepada PH sebagaimana
empat PRK sebelumnya – Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port
Dickson?
Adakah pengundi sudah menyesal dan menyedari kesilapan mereka, lalu ingin berpatah balik memilih BN semula?
Dalam kebanyakan keadaan, walaupun pedih untuk diakui, majoriti
rakyat sememangnya menyesal mengundi PH dan menjadikan gabungan itu
sebagai kerajaan.
Penyesalan paling besar ialah kerana PH gagal menunaikan janji-janji yang dimanifestokan dalam PRU14 lalu.
Janji PTPTN, menghapuskan hutang Felda, menurunkan kos sara hidup
serta harga barang, memulihkan ekonomi, menambah peluang pekerjaan,
menghapuskan tol serta banyak lagi janji yang terkandung dalam Buku
Harapan, bukan saja gagal ditunaikan tetapi asyik-asyik menyalahkan
kerajaan lalu sebagai alasan ketidakmampuan melaksanakannya.
Kalau pun mahu memberi alasan, biarlah logik serta munasabah dan
janganlah dalam mengeluh ketiadaan wang, namun kerajaan dalam waktu yang
sama ingin pula melaksanakan projek kereta ketiga, kereta terbang dan
membawa semula perlumbaan kereta F1.
Apa sebenarnya keutamaan kerajaan – menjaga kebajikan rakyat atau
memenuhi keghairahan serta nafsu peribadi segelintir pemimpinnya?
Kehanyakan janji yang ditunaikan selama 11 bulan memerintah ini
hanyalah janji-janji kecil yang tidak memberi banyak kesan kepada
kehidupan rakyat.
GST yang dihapuskan, tetapi diganti dengan SST yang realitinya tidak
banyak beza pun antara keduanya. Harapan rakyat untuk melihat SST yang
diperkenalkan semula adalah sama dengan kaedah lama seperti sebelum GST
diperkenalkan dahulu, langsung tidak menjadi kenyataan.
Bagi kebanyakan rakyat, dengan ada juga cukai perkhidmatan 6 peratus
dalam SST, ia tidaklah berbeza dengan GST yang diperkenalkan Najib
sebelum ini.
Ramai yang berpandangan kini adalah lebih baik jika kadar GST terus
diperkenalkan, tetapi diturunkan daripada 6 peratus kepada 3 peratus
kadarnya.
Yang paling membuatkan rakyat marah ialah apabila Tun Mahathir
Mohamad, di sebalik enggan menunaikan janji-janji yang membawa
kemenangan kepada PH, dengan selamba berkata Buku Harapan bukanlah
sebuah kitab suci yang kandungannya wajib untuk dilaksanakan.
Kenapa tidak bercakap seperti itu sebelum PRU14 lalu?
Meskipun banyak kelemahan PH seperti barisan menteri yang tidak
berwibawa, dasar yang celaru dan sebagainya, berdasarkan tinjauan umum,
kemarahan rakyat yang membuatkan mereka menyesal mengundi gabungan itu
ialah kerana keengganan menunaikan janji serta memberi alasan yang
seolah-olah memperbodohkan rakyat mengenainya.
Jika kerajaan tidak segera berusaha memulihkan keadaan dan menunaikan
janji serta Tun Mahathir mesti berhenti memberi alasan yang
memperbodohkan rakyat, percayalah, rasa menyesal ini akan terus
berpanjangan sehingga PRU15 akan datang.
Meskipun masih ada masa lagi untuk berubah, perubahan dan menunaikan janji jangan lagi ditangguh-tangguhkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan