Sabtu, 8 September 2018

"Pak Cik tak sempat lari, akhirnya maut dipijak gajah jantan mengamuk" - Anak saudara

Adie Sufian Zulkefli, Astro Awani
"Pak Cik  tak sempat lari, akhirnya maut dipijak gajah jantan mengamuk" - Anak saudara
Mangsa dikatakan baharu selesai memungut buah di dusun mereka untuk menjamu ahli keluarga yang baru pulang - Foto Astro AWANI
 
PADANG TERAP: Hajat seorang pesara tentera menghidangkan buah kepada anggota keluarga yang pulang untuk bercuti tidak kesampaian apabila dia maut dipijak gajah jantan yang mengamuk berdekatan Kampung Kah Ing, dekat Padang Terap, petang Jumaat.

Dalam kejadian jam pada 6.30 petang , mangsa Mat Juhid Osman, 49, berasal dari Kampung Hulu Padang Sanai Kanan, dalam perjalanan pulang bersama abangnya sebelum bertembung dengan gajah yang tiba-tiba menyerang mereka.

Bagaimanapun abang mangsa Mohd Husin Osman, 51, sempat melarikan diri dan bersembunyi di celah pokok.

"Pakcik (mangsa) dan Pak Lang  (Mohd Husin) pergi dusun, tiba-tiba terserempak dengan gajah yang terkejut dengan kehadiran mereka.
 
"Lepas tu, gajah tu pijak pakcik saya. Masa tu Pak Lang lari selamatkan diri.

"Lepas gajah tu beredar, baru dia bawa pakcik ke jalan besar," kata Norlida Abdul Wahab, anak saudara mangsa yang ditemui Astro AWANI.

Kedua-dua mangsa dikatakan baharu selesai memungut buah di dusun mereka untuk menjamu ahli keluarga yang baru pulang dari Sungai Petani, Kuala Lumpur dan Johor sempena cuti panjang yang bermula hari ini.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal akibat kecederaan parah dialaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Noh Idris memaklumkan, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah tangan kanan akibat dipijak gajah berkali-kali.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Bagaimanapun, beliau telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perhilitan Kedah untuk mengesan sama ada gajah terbabit masih berada sekitar kawasan dusun mangsa atau tidak.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Padang Sanai Kanan, selepas solat solat Zohor. 
 
 

Tiada ulasan: