KOTA BHARU: PAS menyifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 14
orang yang terkorban dalam tragedi Memali sebagai 'mati katak', bukannya
syahid adalah penghinaan melampau kepada mangsa, keluarga dan seluruh
rakyat Malaysia.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun
tragedi berkenaan sudah 32 tahun berlalu, Dr Mahathir terus membuat
penghinaan terhadap mangsa.
"Kita lihat dalam kes itu, Sultan Kedah sendiri menziarah kubur mangsa
tragedi. Jika mangsa Memali itu dikatakan mati katak, adalah tindakan
Sultan Kedah ketika itu disifatkan tidak betul?
"Tun Dr Mahathir dan pakatan pembangkang kini sudah terdesak sehingga membangkitkan isu puluhan tahun lalu.
"Bagi PAS, tuduhan Tun Mahathir melampaui tatasusila umat Islam dan
Melayu," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS, di sini,
hari ini.
Dr Mahathir ketika berucap pada Ceramah Perdana bersama Calon PKR P121
Lembah Pantai di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi,
Kuala Lumpur, malam tadi, dilaporkan berkata 14 mangsa yang terkorban
dalam tragedi berdarah Memali sebagai 'mati katak', bukan mati syahid.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, 'Amanat Haji Hadi' pada tahun 1981
yang menjadi punca berlakunya peristiwa hitam itu dengan membunuh
pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.
Dalam pertempuran antara penyokong PAS dengan pihak keselamatan di
Kampung Memali, Kedah, itu mengakibatkan 18 orang terbunuh, termasuk
empat anggota polis.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Dr Mahathir tidak sepatutnya
terus menghentam isu Memali, sebaliknya berlapang dada dan berjumpa
keluarga mangsa untuk meminta maaf.
"Sebelum ini, saya pernah berjumpa dengan anak Dr Mahathir iaitu Datuk
Seri Mukhriz meminta bapanya berjumpa keluarga untuk memohon maaf.
"Namun, Mukhriz memaklumkan beliau sudah berjumpa dengan keluarga mangsa," katanya.
Tuan Ibrahim turut berkata, kerajaan sepatutnya menubuhkan Siasatan
Diraja bagi menyiasat tragedi Memali supaya tuduhan seperti itu tidak
berterusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan