Sabtu, 5 Mei 2018

Trio BN Shah Alam lancar manifesto

Manzaidi Mohd Amin
Azhari (tengah), Ahmad Muadzam (kiri) dan Jumaeyah (kanan) menjanjikan kebajikan yang sempurna untuk rakyat Shah Alam dalam manifesto mereka bersama.
Azhari (tengah), Ahmad Muadzam (kiri) dan Jumaeyah (kanan) menjanjikan kebajikan yang sempurna untuk rakyat Shah Alam dalam manifesto mereka bersama.
 
SHAH ALAM – Pada hari penamaan calon Rabu minggu lalu, Datuk Azhari Shaari memberitahu wartawan yang beliau akan mengumumkan misi dan visinya untuk rakyat Shah Alam tidak lama lagi.

Semalam, dengan wajah ceria, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam ini menunaikan janji itu di depan wartawan sambil menunjukkan booklet yang mengandungi manifesto.

Turut bersamanya, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Ahmad Muadzam Shah Yaakop dan calon DUN Kota Anggerik, Jumaeyah Masdi

Trio Shah Alam ini sentiasa berganding bahu turun padang menemui masyarakat untuk menyampaikan janji BN jika diberi mandat memerintah Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Sejak PRU 12, Parlimen Shah Alam dimenangi wakil rakyat Pas, Khalid Abd Samad, yang kemudian bertukar kepada Parti Amanah Negara (PAN).

Sejauhmana khidmatnya kepada masyarakat Shah Alam selama hampir 10 tahun itu, hanya penduduk kawasan berkenaan sahaja mengetahuinya.

Dalam pengumuman manifesto khusus untuk Parlimen Shah Alam itu, Azhari memberitahu, ada enam kategori disediakan oleh BN kawasan itu jika menang.

Kategori itu ialah sukan dan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan, pendidikan dan modal insan, ekonomi dan sara hidup, kesejahteraan wanita, dan kesejahteraan belia.




Untuk kategori sukan dan kesihatan, beliau berjanji hendak menaiktaraf stadium Shah Alam sebagai pusat pelancongan sukan dan membina galeri bersejarah Red Giant tanda penghargaan kepada pemain bola sepak Selangor.

“Kami juga berjanji menyediakan pusat dialisis percuma untuk pesakit diabetes yang memerlukan rawatan,” katanya di Shah Alam.

Mengenai keselamatan dan kesejahteraan, menurut Azhari yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, BN kawasan itu dengan kerjasama BN negeri merancang serta mengawal pembangunan bandar dengan lebih teratur dan lebih efisen, di samping melestarikan alam sekitar dengan menggalakkan pembangunan menggunakan teknologi hijau.



Sebuah kompleks untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga akan dibina bagi memberikan kemudahan kepada golongan itu, termasuk pemberian insentif 50 peratus penyewaan dewan kerajaan bagi majlis perkahwinan.

Bagi orang Islam yang kematian ahli keluarga akan diberi bantuan RM3,000 untuk mengurus jenazah, manakala untuk kebajikan masyarakat India dan Cina akan disediakan kemudahan crematorium.

“Dalam hal pendidikan dan modal insan pula, saya merancang hendak menjadikan Shah Alam sebagai bandar ilmu kelas dunia, selain menawarkan insentif khas kepada pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Rendah Kebngsaan (SRK).

“Dana khas untuk sekolah tahfiz juga akan disediakan, termasuk yuran percuma sekolah rendah agama, dana khas sewa rumah untuk mahasiswa, insentif RM10,000 ijazah kelas pertama dan bantuan khas kemasukan IPT sebanyak RM2,000.

“Untuk masyarakat Cina dan India, kita sediakan dana khas prasekolah SRJK (C) dan SRJK (T), selain perkhidmatan bas sekolah percuma di Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

Bahkan, banyak lagi tawaran menarik disediakan untuk rakyat Shah Alam daripada segi ekonomi dan sara hidup, ibu tunggal, suri rumah, peniaga kecil dan belia. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: