Khamis, 10 Mei 2018

Malaysia bermuhasabah

Faisal Tehrani
 
 
Rakyat Malaysia telah berani berubah, tekad dan nekad, kebulatan hati dan tindak-tanduk rakyat itu ada harganya.
 
 



Mulai sekarang, akan terdapat kerajaan negeri yang ditubuhkan oleh parti-parti politik yang berbeza.
Rakyat Malaysia buat pertama kalinya akan mengecapi dan merasai selama 5 tahun variasi kerajaan negeri oleh Barisan Nasional, Pakatan Harapan, PAS dan Warisan.

Kemungkinan “kerajaan perpaduan” akan ditubuhkan juga ada, iaitu di Perak dan Kedah apabila PAS dan BN bakal menjadi suara penentu. Amaran: kedua-dua negeri ini bakal membekalkan keletihan berpolitik untuk bulan-bulan berikutnya.

Akan tetapi harus kita persetujui, tarikh 9 Mei 2018 telah menyaksikan episod kematangan berpolitik rakyat Malaysia. Selama 60 tahun Malaysia hanya diperintah oleh sebuah blok politik yang sama. Hari ini, ia telah berubah secara majestik.

Bagaimanakah ia dilakukan? Akan ada banyak diskusi mengenainya. Apakah kita akan terus mengalami kelelahan politik memandangkan kejutan ini sangat bersejarah? Kita tidak dapat meramal semua itu melainkan menyaksikan sendiri sejarah yang tercipta pada semalam dan pagi ini untuk beberapa bulan dan tahun mendatang.

Di peringkat persekutuan, tentu sahaja rakyat akan menanti janji manifesto PH. Tentu, ia bukan sesuatu yang magik tetapi janji itu akan ditagih dituntut.

Kematangan berpolitik kelmarin akan diserlahkan kembali lima tahun lagi jika ada janji tidak ditunaikan tentunya.

Antara janji sukar ialah untuk meningkatkan gaji dan saraan penjawat awam, gaji minimum RM1,500, elaun kebajikan, lesen motorsikal percuma, menstabilkan harga minyak, subsidi air dan elektrik, pemansuhan PTPTN, pemberian royalti minyak, memberi kelonggaran berpolitik kepada seluruh rakyat Malaysia, mengembalikan wang rakyat yang dilaburkan di luar negara, sistem giliran Perdana Menteri dihadkan selama dua penggal; dan pastinya – pemansuhan GST.

Kejayaan melakukan perubahan setelah 60 tahun ini bukan mudah, dan tentu terdapat banyak argumen, hujah dan perspektif yang akan dibincangkan selama beberapa musim.

Namun demikian, salah satu faktor yang membolehkan keputusan bersejarah ini dilakukan adalah kerana saudara-saudara di Sabah dan Sarawak juga tekad melakukan perubahan. Pengundi di Semenanjung semestinya mengucapkan terima kasih kepada belahan jiwa mereka di sana.

Apakah yang akan terjadi sekarang? Jawapannya adalah; cabaran untuk menjadi matang.

Kematangan baharu di Malaysia ini adalah satu proses. Sudah tentu, menjadikan Barisan Nasional sebagai blok pembangkang di peringkat persekutuan bukan tujuan akhir dalam demokrasi.

Demokrasi adalah sebuah sistem politik-sosial-ekonomi yang bertunjangkan 3 prinsip:
  • Hak asasi manusia yang menyentuh kemerdekaan, kesetaraan, yang mana peluang baharu akan akan ditimang dengan teliti oleh rakyat.
  • Institusi yang pelbagai, yakni institusi negara yang berasaskan politik, dan sivik melampaui individu, etnik, agama dan perkaitan parti.
  • Pembahagian kuasa yang meskipun berdasarkan majoriti, masih menyediakan peluang, kesempatan dan hak kepada minoriti.
Ini bermakna, demokrasi bukanlah hanya pilihanraya yang bersih tetapi juga “apa yang terisi antara siri pilihanraya tersebut”. Demokrasi mengutamakan penglibatan rakyat yang dilakukan menerusi dialog dan forum awam, bukan hanya partisipasi pilihanraya. Ia adalah sistem “dari rakyat untuk rakyat”.

Malaysia yang bermuhasabah perlu memikirkan bahawa demokrasi negara ini bukan lagi negara demokrasi olok-olok. Malaysia adalah negara yang normal. Malaysia hanya dapat menjadi hebat hanya dengan menyertakan rakyat dalam proses membina negara.

Malaysia baharu menuntut institusi kerajaan yang tidak lagi disakiti dan dicabul, tidak dieksploit dan digunakan sewenang-wenangnya oleh parti yang sedang memerintah.

Tentu sahaja, suara rakyat mesti diberi pengiktirafan kerana rakyat telah bersatu menolak kekangan.

Makanya untuk memulihkan negara ini yang sudah mengalami kerosakan parah, pertama-tamanya ialah keperluan rakyat untuk bersatu tanpa mengira ideologi politik. Negara ini perlu ditukangi semula dan kesetiakawanan rakyat seluruhnya, tanpa suku-suku diperlukan.

Negara bangsat demokrasi

Di dalam novel saya berjudul Profesor, saya menyebutkan; Malaysia adalah sebuah negara di bawah kategori “rejim hibrid”. Kelompok bersama Malaysia adalah Kemboja, Kenya, Nigeria, Peru, Rusia, Ukraine, Serbia dan Zimbabwe.

Malaysia dan negara yang disenaraikan di atas adalah pengamal “competitive authoritarianism” atau secara mudahnya, negara yang mana kerajaannya adalah pengamal pilihan raya dengan elemen autoritarianisme. Dalam bahasa yang menyedihkan, Malaysia dikelompokkan dalam “negara bangsat demokrasi”.

Dalam rejim hibrid, demokrasi olok-olok ini membolehkan parti politik bergiat cergas tetapi sebenarnya mereka dikekang dan tidak dapat melakukan apa-apa kerana tangan sedang terikat ke belakang. PPBM pimpinan Dr Mahathir sebagai contoh mengalami keadaan ini.

Anehnya, Dr Mahathir adalah tokoh yang pernah dianggap sebagai pencipta, dan pengukuh “competitive authoritarianism” di Malaysia. Levitsky dan Way dalam “Competitive Authoritarianism: Hybrid Regimes After the Cold War” menyebut pada tahun 1998-1999, tekanan menerusi undang-undang, atau “legal repression”, dilakukan dan dimanfaatkan pentadbiran Dr Mahathir dengan sasaran terhadap jurnalis, editor dan media independen.

Untuk makluman, gejala “competitive authoritarianism” ini masih dianggap baharu dan membingungkan untuk ahli sains politik. Sementara para sosiologis masih berhempas pulas memberi penawar kepada ketidakadilan ini. Ini kerana untuk dihujahkan tiada demokrasi, pengamal rejim hibrid seolah-olah mengamalkan demokrasi; untuk mengatakan tiada pilihanraya yang adil, tampaknya ia semacam adil.

Gejala gila di atas dilanggar rakyat semalam.

Tarikh 9 Mei 2018 bersejarah kerana untuk pertama kali dalam sejarah, rakyat Malaysia berjaya mendobrak dan meleraikan diri dari “competitive authoritarianism” secara aman, dan tanpa perlu menumpahkan darah.

Apa yang aneh, tetapi mungkin penuh hikmah ialah, arkitek “competitive authoritarianism” kini adalah orang yang bertanggungjawab membantu rakyat untuk melawannya. Dr Mahathir akan kekal menjadi seorang tokoh yang penuh enigma, dan magis kerana sebab ini.

Dan jika beliau benar-benar suci, “competitive authoritarianism” ini akan dibuang dari jendela. Demokrasi yang sebenar akan dikembalikan dan diperkenalkan.

Ia tidak akan mudah. Setelah 6 dekad digari oleh demokrasi hibrid ia bukanlah mudah. Tetapi rakyat Malaysia telah berani berubah, tekad dan nekad, kebulatan hati dan tindak-tanduk rakyat itu ada harganya.

Inilah yang akan kita saksikan bulan-bulan mendatang, iaitu Malaysia bermuhasabah, dan berusaha membetulkan keadaan.

*Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Tiada ulasan: