Jumaat, 11 Mei 2018

Presiden, pemimpin tertinggi Umno perlu bertanggungjawab'

MALAYSIAKINI



  • Sayap pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Selangor mendesak Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

    Ketua Pemuda Umno Wilayah Razlan Rafii berkata pemimpin tertinggi Umno perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

    "Pemimpin tertinggi perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas malapetaka ini dan harus bersedia untuk berundur diri dan seterusnya memberi laluan kepada muka baru mengetuai parti keramat Umno," katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Ketika dihubungi, Razlan menjelaskan bahawa pemimpin tertinggi yang dimaksudkannya adalah presiden dan pemimpin kanan lain.

    Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zakaria turut membuat gesaan serupa.

    "Kita tidak bercakap mengenai individu, tapi kita bercakap mengenai masa depan parti (Umno).

    “Maka adalah lebih baik supaya beliau (Najib) bertanggungjawab serta berundur supaya satu gerakan pembaharuan dapat dilaksanakan dalam parti,” katanya yang dipetik oleh portal pembangkang Utusan Malaysia.

    Awal hari ini, Pemuda Umno Kedah dan Terengganu turut menggesa Najib berundur.

    Gesaan itu dibuat ketika Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Khairy Jamaluddin menggesa agar parti diberi nafas baru dibuat secepat mungkin.


    Tiada ulasan: