Jumaat, 11 Mei 2018

Kerajaan PH digesa buka laporan audit 1MDB

 
Lawyers for Liberty menggesa kajian semula jawatan Peguam Negara, 'undang-undang menindas', polis, pelantikan hakim dan status warga negara tanpa kerakyatan.


Eric Paulsen menggesa laporan 1MDB didedahkan dan PH menunaikan janjinya.


PETALING JAYA: Kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) digesa mengubah status rahsia laporan 1MDB oleh ketua audit negara dan menubuhkan suruhanjaya siasatan bagi menyiasat skandal besar dalam pertubuhan seperti Felda.

Kumpulan aktivis Lawyers for Liberty (LFL) berkata, kerajaan baharu harus mengarahkan peguam negara menghentikan pendakwaan terhadap semua kes bermotifkan politik dan menggugurkan rayuan terhadap kes yang sama.

Pengarah Eksekutif Eric Paulsen berkata kerajaan persekutuan yang baharu mesti menunaikan janji tentang reformasi dan hak asasi manusia dalam manifesto pilihan raya PH.

“Tidak masuk akal undang-undang yang menindas terus disalah gunakan untuk menganiaya pembangkang, aktivis dan (bekas) pemimpin pembangkang, dan kami percaya undang-undang itu tidak akan disalahgunakan dengan cara yang sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini,” kata Paulsen.

PH dan parti sekutu di Sabah, Parti Warisan Sabah memenangi majoriti mudah kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Rabu lalu, mengalahkan Barisan Nasional selepas 45 tahun berkuasa.

Langkah-langkah lain yang perlu diambil kerajaan baharu termasuklah:
  • memisahkan kuasa melantik peguam negara secara lantikan politik sebagai ketua peguam kerajaan dari pendakwa raya awam supaya pendakwaan dapat dibawa tanpa rasa takut terhadap campur tangan politik;
  • hakim dilantik berdasarkan kekananan, merit dan pengalaman, tanpa campur tangan atau pengaruh politik;
  • tidak mempolitikkan polis supaya pasukan itu tidak disalahgunakan sebagai alat untuk menentang lawan politik dan pembangkang;
  • pengawasan dan penangkapan yang bermotifkan politik harus dihentikan segera;
  • menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis dan polis mesti menjawab bagi kes kematian dalam tahanan;
  • memansuhkan “undang-undang menindas” seperti Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah, Akta Pencegahan Keganasan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Rahsia Rasmi, Akta Perhimpunan Aman, Akta Antiberita Tidak Benar, Akta Pencetakan dan Penerbitan, dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.
  • memansuhkan hukuman mati;
  • menubuhkan Suruhanjaya Undang-undang untuk mengkaji semua undang-undang dan lain-lain dan membuat syor-syor yang sesuai; dan
  • menyemak semua kes rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan.

Tiada ulasan: