Jumaat, 11 Mei 2018

PBB timbang semula keanggotaan BN - sumber

MALAYSIAKINI


   
EKSKLUSIF l  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bertemu dengan Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, menurut seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pemimpin yang enggan dinamakan itu berkata, mesyuarat itu turut dihadiri bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, di Kuala Lumpur.

“Taib akan memanggil Ketua Menteri Sarawak Abang Johari sama ada hari ini atau esok untuk bertemu,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemimpin PBB itu tidak menolak kemungkinan membentuk gabungan di peringkat negeri, yang dirancang sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk keluar BN jika Putrajaya ditawan Pakatan Harapan.

“Kerajaan negeri yang bebas dari BN akan membawa idea agenda Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Katanya, Abang Johari akan memanggil mesyuarat tergempar pada Rabu depan dengan anggota parlimen BN dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membincangkan nasib mereka dalam BN.




BN Sarawak terdiri dari empat parti iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Gabungan itu mempunyai 19 anggota parlimen – 13 dari PBB, PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1).

Jika mereka meninggalkan BN, gabungan itu hanya akan tinggal tidak sampai 60 kerusi di seluruh negara.

Pakatan Harapan dan sekutunya WARISAN serta anggota parlimen Batu (bebas), mempunyai keseluruhan 122 kerusi.




Angka itu naik kepada 123 kerusi selepas Upko semalam keluar BN dan presidennya Madius Tangau, yang juga anggota parlimen Tuaran, bekerjasama dengan WARISAN dan HARAPAN.

Anggota parlimen bebas Larry Sng, yang menang selepas mendapat laluan HARAPAN, dijangka terus kekal mesra kerajaan pusat yang baru.

Jika 19 anggota parlimen BN di Sarawak menyertai HARAPAN, gabungan itu akan memperoleh 143 kerusi, kurang lima kerusi sahaja lagi untuk menguasai majoriti dua pertiga dalam parlimen.

Tiada ulasan: