Selasa, 22 Mei 2018

Jabatan Kehakiman AS nyatakan hasrat siasat 1MDB bersama Malaysia

Ibrahim Sani, Agensi |
Jabatan Kehakiman AS nyatakan hasrat siasat 1MDB bersama Malaysia
Ini adalah kali pertama Jabatan Kehakiman AS menyatakan hasrat bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia untuk siasatan 1MDB. Gambar hiasan
 

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan meneruskan siasatan ke atas kes melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berharap akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia.

Ini bermakna, AS adalah negara ketiga selepas Singapura dan Switzerland yang telah menyatakan hasrat yang sama.

"Jabatan Kehakiman komited untuk memastikan AS dan sistem kewangannya tidak terancam oleh individu rasuah dan kleptokrat yang berusaha menyembunyikan kekayaan mereka," kata jurucakap DOJ dalam satu kenyataan kepada Reuters.

"Sekiranya mungkin, aset yang ditahan oleh DOJ akan digunakan untuk memberi faedah kepada rakyat Malaysia," kata kenyataan itu lagi.

Kerajaan AS memfailkan aduan pada 2016 dan 2017 untuk memperoleh semua aset bernilai AS$1.7 bilion membabitkan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Mereka mendakwa lebih daripada AS$4.5 bilion diambil daripada 1MDB dan dilaburkan dalam beberapa syarikat serta akaun bank di AS serta beberapa negara lain.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun menafikan terdapat sebarang salah laku sejak skandal 1MDB mula diperkatakan pada 2015.

Tiada ulasan: