THE MALAYSIAN TIMES
JOHOR BAHRU: Pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan baharu diyakini bukan sahaja akan memanfaatkan rakyat serta warga kerja kementerian terbabit malah dilihat bakal mengangkat dimensi pendidikan negara agar setanding negara maju.
Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (PKAUTM) Profesor Madya Dr Aminuddin Ruskam berkata pelantikan ini membolehkan jalinan dan kombinasi idea pakar-pakar pemikir Kementerian Pendidikan diadakan bagi mengangkat bangsa Malaysia yang bertamadun dengan teras budaya dan jiwa beragama.
“Kesepaduan akademik dan pengalaman Dr Maszlee mampu mencetuskan minda baharu dari sudut anjakan pemikiran, idea, usaha dan iltizam untuk disumbangkan kepada kementerian.
“Sebagai Presiden PKAUTM, saya mewakili warga akademik UTM mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas kepercayaannya melantik Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan baharu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata Dr Maszlee, 44, yang berpengalaman sebagai pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah mantan Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UIA dan juga seorang aktivis sosial yang bergerak atas landasan Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Semalam, Anggota Parlimen Simpang Renggam itu adalah antara 13 anggota Parlimen yang mengangkat sumpah sebagai menteri kabinet baharu.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan