Ahad, 22 April 2018

Zaid Ibrahim 'syok sendiri' - Bekas ahli DAP

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang bekas ahli DAP menyifatkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai 'syok sendiri' apabila merasakan dirinya berhak diletakkan sebagai calon yang bakal bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
 
Tan Tuan Tat yang juga merupakan bekas Pengerusi DAP cawangan Sungai Pelek berkata, Zaid sepatutnya sedar sejak dari awal lagi, bahawa DAP sememangnya ditubuhkan untuk kaum Cina dan bukannya Melayu.
 
Justeru tegas Tuan Tat, bekas menteri itu tidak boleh menganggap dirinya layak menjadi calon walaupun pernah memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini.
 
"Dari awal lagi Zaid patut tahu yang DAP bukan parti untuk kaum lain, termasuk Melayu.
 
"Dia  masuk DAP sebab dia ingat dia akan dapat tempat untuk bertanding.
 
"Dia 'syok sendiri' dia fikir dia ialah seorang bekas menteri, jadi dia ingat dia boleh bawa pengundi Melayu kepada DAP," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Baru-baru ini, selepas dikatakan tidak mendapat ruang untuk bertanding dalam PRU, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menerusi catatan di laman Twitternya telah menyifatkan DAP sebagai 'parti Cina'.
 
“Parti Cina dalam Pakatan harapan umumkan mereka sudah ada dua bakal menteri. Mungkin akan ada lagi.Parti-parti Melayu senyap saja dalam isu itu. Begitu biasanya sikap Melayu, malu dan segan untuk suarakan pendapat. Tiada apa yang berubah."
 
Kenyataan Zaid itu menyusul setelah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming akan dilantik sebagai menteri pusat jika Pakatan Harapan menakluk Putrajaya.
 
Sebelum itu, Guan Eng turut menjanjikan kedudukan sama kepada Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.
 
Zaid pada 12 April lalu turut menyamakan dirinya dengan pemimpin veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw yang sudah tidak lagi dicalonkan sebagai penyandang di kerusi Parlimen Kepong.
 
Mengulas lanjut, Tuan Tat juga berkata keputusan Zaid menyertai DAP mungkin kerana beliau menganggap dirinya itu mampu untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap parti tersebut.
 
"Zaid sendiri yang masuk DAP, tidak ada orang yang panggil dia masuk DAP.
 
"Dia seolah-olah 'opportunate', dia lihat DAP kuat jadi dia ingat dia sendiri ada sokongan orang Melayu, jadi dia fikir bila dia menyertai DAP, dia boleh bawa orang lain masuk DAP," ujarnya lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: